GAMBAR LAKONAN BLACKOUT 505: MENYANGKAL DAKWAAN SPR
KENYATAAN MEDIA ADUN SERI SERDANG
YB NOOR HANIM ISMAIL
GAMBAR
LAKONAN BLACKOUT 505: MENYANGKAL DAKWAAN
SPR
Saya
mengecam kenyataan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) melalui Timbalan Pengerusinya
Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang menyatakan bahawa kejadian Blackout 505 yang
tersebar di internet dan akhbar adalah fitnah dan lakonan yang dirakam sebelum
PRU 13.
Ternyata
hasil penelitian dan siasatan awal yang
dilakukan beliau bersama pegawai-pegawainya adalah sangat lemah dan hanya
sekadar ingin menutup kelemahan sistem pilihanraya yang ada dan menafikan
kejadian blackout yang benar-benar berlaku. Saya ingin menyatakan bahawa gambar
yang tersebar tersebut adalah benar dan kejadian itu berlaku di SEKOLAH
KEBANGSAAN SERDANG, di bilik pengiraan undi Saluran 3. “Counting Agent” kami
telah mengambil beberapa gambar sebelum dan selepas kejadian blackout tersebut
itu berlaku.
Saya
juga melihat beberapa kelemahan Timbalan Pengerusi SPR dalam menilai beberapa
aspek dikatakan Prosedur Operasi Standard (SOP) SPR sewaktu hari mengundi pada
5 Mei 2013 yang lalu. Bagaimana beliau sendiri tidak tahu pakaian rasmi
petugas-petugas SPR berwarna kelabu pada hari tersebut. Saya juga berasa hairan
kerana beliau juga tidak kenal kotak bekas kiraan undi yang digunakan oleh
pihak SPR sendiri. Gambar tersebut dengan jelas menampakkan logo SPR di tepi
kotak kiraan undi yang digunakan.
Sewaktu
kejadian itu berlaku, wakil calon kami juga telah berusaha membekalkan lampu
suluh ke bilik kiraan undi tersebut bagi memastikan proses kiraan undi berjalan
dengan lancar. Saya menafikan bahawa terdapat wartawan di lokasi kejadian
kerana yang ada hanya Ketua Tempat Mengundi (KTM), petugas SPR, agen mengira undi dan
anggota polis yang bertugas sahaja.
Oleh
itu, saya menyarankan agar pihak SPR khususnya Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan
Ahmad Wan Omar memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana telah
melakukan kesilapan dalam mengeluarkan kenyataan tanpa membuat kajian yang
mendalam dan mengambil ringan isu yang dibangkitkan oleh rakyat. SPR sebagai
badan rasmi yang menguruskan pilihanraya ini mesti dilihat profesional, adil
dan telus serta tidak berpihak kepada mana-mana parti.
YB NOOR HANIM ISMAIL
ADUN SERI SERDANG.
25 Mei 2013 / 15 REJAB 1434




0 ulasan