Rentetannya sebelum Raya lagi , kami yang dalam proses nak set up sebuah PASTI baru di bandar kinrara sedang pening untuk mencari duit pembiyaan awal. Kos nya bukan murah , mahu nak mencecah RM 15,000. Mesyuarat demi mesyuarat terkeluarlah cadangan untuk memohon bantuan para YB PAS, EXCO PAS, YB Melayu Islam (PKR) ,serta beberapa orang Ahli Majlis agar sama-sama dapat membantu dalam mengeluarkan sedikit sumbangan (tidak kira dari dana mana pun), bagi membantu menubuhkan PASTI ini.
Namun, hari demi hari, tiada sebarang respon diterima daripada berpuluh pucuk surat yang dihantar. Harapan menggunung kami pada awalnya, mengharapkan era kemenangan ini memberikan sedikit advantage kepada gerak kerja Islam ini, semacam semakin terkubur hari demi hari. Tidak harapkan sangat pun, sebab sebelum ini memang tak pernah berpeluang mengecapi era kemenangan, tapi mesyuarat akar umbi, ahli cawangan ajk pasti seoalah olah mahu mencuba nasib, mencuit air yang tenang, mana tahu nasib menyebelahi kami. Tapi hampa, biarlah tidak ada cek ataupun wang tunai, panggilan telefon menyatakan usaha membantu tidak langsung diterima. Pasrah .....
Mesyuarat seterusnya, mencadangkan agar, kita pula mencuba nasib memohon bantuan daripada seorang YB yang pernah ditahan ISA baru baru ini. YB yang dikatakan mengkhianati bangsa melayu, menghina Islam menerusi tulisan jawi. Sampaikan sehingga surat memohon sumbangan sedang didrafkan, YB tersebut betul-betul sedang dalam tahanan ISA. Namun, atas keputusan mesyuarat yang telah dicapai, surat berkenaan dihantar juga ke Pejabat EXCO tersebut di Shah Alam.
Beberapa hari selepas surat berkenaan di POS, saya menerima panggilan telefon daripada Pejabat EXCO berkenaan. Diberitahu, pejabat beliau telahpun menerima surat permohonan kami, dan akan diforwardkan kepada YB untuk pertimbangan beliau. Dan keesokkan harinya, dapat lagi panggilan telefon dari pejabat berkenaan, memberitahu peruntukan sebanyak RM 2,500 daripada pejabat dearah telah diluluskan. Disebabkan tempoh berkenaan terlalu hampir dengan hari raya, maka cek hanya akan dapat disediakan lebih kurang 2 minggu selepas raya.
Pada mulanya, saya sendiri skeptikal untuk menerima berita ini. Maklumlah, tidak pernah dalam anganan untuk mendapat derma bagi penubuhan PASTI sedemikian rupa. Ditambah pula dengan pengalaman dengan ketiadaan respon daripada YB parti sendiri, EXCO parti sendiri , dan YB bangsa sendiri. Ah, mungkin helah dan drama semata mata panggilan tadi.... itu kata hati. Tidak mahu membesarkan perkara ini keperingkat PASTI kawasan, cukuplah sekadar diminitkan dalam jawatankuasa PASTI cawangan sahaja.
Namun hari ini, setelah cek berada di depan mata, baru lah kita percaya. Pengerusi PASTI Kawasan dihubungi yang terawal untuk melaporkan perkembangan ini.
Iyalah, orang yang dituduh pengkhianat bangsa Melayu, pembenci agama Islam ini juga yang simpati menghulurkan bantuan kepada PASTI !
Semakin banyak persoalan timbul di fikiran ini :
1) Macam mana kerajaan negeri Perak (yang EXCO melayu Islamnya minoriti) boleh mengagihkan bonus/duit raya kepada Cikgu cikgu PASTI di seluruh negeri Perak ? Kenapa sukar sangat di Selangor ini ?
2) Macam mana kerajaan Perak boleh anugerahkan tanah kepada sekolah agama rakyat bagi membantu kewangan SAR tersebut supaya boleh lebih berdikari ?
3) Apakah yang sebenarnya kita dapat daripada kemenangan di negeri kita ini ? Tidak ada apa kah yang dapat membantu melicinkan gerak kerja islam di negeri kita ini ?
Maaf, sangat banyak lagi persoalan yang timbul dari diri ini.
Bukan memerlukan jawapan dan bidasan, hanya memohon petunjuk hakiki, mana yang lebih menguntungkan Islam.
Insya Allah, Pemuda tidak akan berpeluk tubuh. Pemuda tidak akan berdiam diri. Pemuda tidak akan membiarkan amanah rakyat dikhianati.
Pemuda memimpin Reformasi ke arah Pentadbiran lebih baik kerana Allah Taala.
p/s : Terima kasih YB !
Isu-isu yang mewarnai dada-dada helaian akhbar sama ada media massa,akhbar alternatif semakin menyajikan isu-isu dan berita yang menuntut agar si pembaca berfikir. Dari propaganda titik perpecahan Pakatan Rakyat, isu fitnah yang semakin tak kenal mangsa, isu pertelagahan sesama sendiri hinggalah kepada isu prinsip dan perjuangan parti itu sendiri.
Yang menarik untuk dimuatkan di ruang ini adalah bagaimana ada ura-ura mengatakan tentang perbincangan rancak antara beberapa individu dalam PAS telah mengadakan pertemuan sendiri dengan PM (UMNO).
Benar atau tidak, kita saja menilainya. Tetapi, yang lebih perlu dibincangkan adalah tentang beberapa perkara ini :
1. Tuan Guru Presiden dalam wawancara bersama harakah, telah diajukan persoalan perihal pertemuan ini. Ulasan Tuan Guru sememangnya satu jawapan yang bijak, memang ada berlaku pertemuan antara individu PAS dan individu UMNO. Ini sekaligus telah menolak tohmahan bahawa PAS (secara organisasinya) telah mengadakan muzakarah dengan UMNO (secara organisasinya). Presiden juga mengambil kesempatan itu juga menzahirkan pendirian PAS sekiranya individu PAS berjumpa dengan individu UMNO, tidak lebih daripada untuk berdakwah dan menyampaikan mesej Islam (i.e. Perpaduan Islam) kepada mereka.
2. Hari ini PM telah dilaporkan oleh sebuah akhbar mengaku ada bertemu dengan "mereka" (beberapa orang yang terlibat dalam membuat keputusan (decision maker) atau pembuat dasar). Ini adakah pengakuan beliau, dan setakat berita ini ditulis, tidak ada lagi mana-mana pimpinan PAS yang mengangkat tangan mengaku ada bertemu PM.
Betul atau tidak, anda sendiri menilainya.
Kami juga suka untuk menarik perhatian kepada nasihat yang diberikan oleh salah seorang Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa seperti berikut :
Abdullah memancing,hati-hati
Betul, kita kena taat kepada pemimpin kita selagi mana arahan dan tindakannya tidak melanggar syariat. Namun, adalah manis sekiranya pandangan akar umbi secara keseluruhannya dalam menentukan polisi perhubungan kita dengan pihak seteru nasionalis kita itu dan bukannya diletakkan pada penafsiran beberapa individu tertentu.
p.s. Bukan kah kita patut melihat segala tindakan yang akan diambil semestinya menjamin keuntungan berganda-ganda kepada jemaah dan bukannya meletakkan jemaah kita 40 tahun kebelakang semula? Ayuh sama-sama fikirkan!
Alhamdulillah , segala puji bagi Allah Taala, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam atas junjungan baginda Rasul Sallallahualaihi wasallam. Seperti mana yang telah dirancang, perhimpunan (demo) aman telah pun dilangsungkan sejurus selepas solat jumaat sebentar tadi. Ia ada bertujuan untuk menyedarkan rakyat bahaya kerajaan BN sangat tidak cakna nasib rakyat bawahan yang selama ini memang sudah lama tertindas, kini dibebankan lagi dengan kesengsaraan kos sara hidup yang tinggi.




Di pengerusikan oleh Sdr Rosharizan (Yeop), Demonstrasi Aman ini mendapat perhatian daripada ramai warga jemaah yang bersolat di masjid berkenaan. Berbekalkan PA sistem yang kuat (PA di van Abg Harun), rata-rata hadirin disekeliling memberi tumpuan kepada perkumpulan aktivitis parti yang hanya berhadapan dengan pintu masuk majid As Salam.Dewan Pemuda juga mengambil kesempatan berhimpun berkenaan untuk sama-sama mengangkat dan menunjukkan poster-poster kartun dan tag line yang menzahirkan ketidak puasan hati terhadap keputusan kerajaan BN yang Maha Zalim. Selain itu, risalah maklumat mengenai perbandingan harga minyak serta pengeluaran minyak mentah turut diedarkan kepada para peserta himpunan aman berkenaan.





3 orang juru cakap mengambil giliran masing-masing untuk menyampaikan ucapan. Dimulakan dengan Ketua Pemuda DPPK Puchong, kemudian di ikuti oleh TYDP Hj Ramli dan di akhiri oleh Cikgu Ahmad Izam. Walaupun terdapat juga beberapa pihak keselamatan yang hadir dan cuba menganggu perjalanan himpunan berkenaan, namun tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. Pimpinan yang turut kelihatan hadir pada program sebentar tadi adalah seperti KUU Ust Soffiean dan Ketua Penerangan Kawasan Ust Yusof dan tidak ketinggalan Pen SU Kawasan , Abg Mail.
Alhamdulillah, setelah dinasihatkan oleh pihak keselamatan agar berhenti, majlis ditamatkan dengan peringatan tentang Himpunan 1 juta rakyat PROTES yang bakal dilangsungkan di PJ pada 6 Julai 2008 nanti. Majlis kemudian ditutup dengan laungan takbir yang bergema menggegarkan perkarangan masjid As Salam. Selesai bersurai, majoriti daripada pimpinan Pemuda serta Cikgu Ahmad Izham bersama-sama makan tengah hari di Ani Sup Utara dalam keadaan suasana penuh berhemah.





Program ini adalah anjuran Dewan Pemuda PAS Kawasan Puchong yang diarahkan secara khusus oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor.
Sekian , melaporkan.
wassalam
DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN PUCHONG
Delegasi Puchong yang hadir berlebihan, sehinggakan ada yang terpaksa mendaftarkan diri sekadar mencari pemerhati dan bukannya perwakilan. Begitulah mungkin, kesungguhan dan komitmen Pemuda terutama untuk komited menjadi sayap dalam menggendung beban serta pemeriksa kira-kira kepada kerajaan semasa era pasca kemenangan.
Muktamar ini juga julung kali diadakan di Dewan yang besar, selesa dan di tempat yang elit. Diadakan di sebuah Dewan Bukit Jelutung , di Bukit Jelutung Shah Alam, bukan lah satu tempat yang biasa. Alhamdulillah, suasana muktamar kali ini agak berlainan nadanya, barangkali inilah muktamar pertama DPPNS selepas era kemenangan.
Pelbagai isu dibincangkan oleh para perwakilan. Tapi yang lebih menarik adalah jaminan YB KP Pusat dalam membawa suara Pemuda Negeri ke perhatian Pimpinan Tertinggi Parti.
Jika hendak dihurai ucapan beliau, maka panjang lebar lah jadinya. Tapi apa yang dapat disimpulkan adalah, DPPNS seharusnya menjadi tulang belakang dan check and balance kepada kerajaan campuran di Selangor.


Natijah daripada perbahasan muktamar ini, DPPNS antaranya telah lantang untuk menegur perkara yang dipandang enteng oleh sesetengah pihak. Penerusan majlis atau program hiburan yang lebih cenderung membawa kemungkaran mungkin menjadi salah satu daripada perhatian hangat para perwakilan dan DPPNS. Justeru, satu memorandum keras telah dihantar kepada kerajaan negeri untuk menzahirkan perkara ini.Tahniah DPPNS !
Tidak ketinggalan, semasa muktamar ini berlangsung, beberapa anugerah telah pun disampaikan kepada beberapa kawasan atas pencapian masing-masing.
Dalam majlis berkenaan, PASTI Kawasan Puchong telah dinobatkan Anugerah Pengurusan PASTI terbaik bagi tahun 2007/2008! Tahniah diucapkan kepada seluruh jawatankuasa pengurusan PASTI Kawasan Puchong yang telah lama bertungkus lumus membetulkan pengurusan PASTI-PASTI di kawasan Puchong sehingga dapat merangkul anugerah pencapaian Pengurusan PASTI terbaik peringkat Negeri Selangor !
Hebahan untuk orang ramai khususnya di sekitar Selangor,Di sini kami ingin maklumkan , satu Pesta Sukan PASTI Negeri Selangor bagi tahun 2008 akan diakan pada hujung minggu ini. Pesta Sukan PASTI Negeri Selangor 2008 ini adalah anjuran bersama dua tuan rumah iaitu Jawatankuasa PASTI Kawasan Serdang dan Jawatankuasa PASTI Kawasan Puchong.
Maklumat lanjut berkaitan dengan program berkenaan adalah seperti berikut:
Tempat : Kompleks Sukan Bangi Seksyen 15 Bangi
Tarikh : 15/06/08
Masa : 8 pagi - 1 tengah hari
Hari : Ahad
Perasmi : YB Dr Syafie Abu Bakar [ADUN Bangi]
Antara acara yang akan dipertandingkan adalah Futsal (bagi pelajar lelaki) dan Bola jaring (bagi pelajar perempuan). Hampir keseluruhan PASTI kawasan di negeri Selangor akan menghantar peserta bagi Futsal dan Bola jaring.
Dianggarkan seramai 440 orang pelajar PASTI seluruh Selangor akan berkumpul di Kompleks Sukan Bangi Seksyen 15 bagi menyertai acara yang dipertandingkan. Guru pengiring dan Pengurus pasukan juga turut hadir dan dianggarkan seramai 66 orang. Para ibubapa pelajar PASTI juga dijangka hadir bagi memberikan sokongan kepada putera puteri mereka.
Orang ramai khususnya di negeri Selangor adalah dijemput bagi memeriahkan Pesta Sukan PASTI Negeri Selangor 2008 ini. Untuk sewaan tapak gerai, boleh terus hubungi Sdr Syaari di talian 013-665 6607 atau Sdr Tengku di talian 017-308 9561.
Mohon dihebahkan tentang program ini.
Dari Jawatankuasa Pesta PASTI Negeri Selangor 2008
Sebanyak lebih kurang 7 Lajnah dimulakan dengan Politik dan Organisasi, Penerangan dan Dakwah , Tarbiyyah , ICT , Amal , Jabatan PASTI dan Naqib turut mengambil bahagian dalam pembentangan strategik lajnah masing-masing. Pelbagai idea dan lontaran dikemukakan bagi mengemaskan isu kandungan lajnah masing-masing.
Secara keseluruhan, program tersebut telah mencapai objektifnya dan ia akan dituruti dengan perincian pelan tindakan susulan bagi mencapai isu-isu strategik yang telah dipersetujui bersama.
Terima kasih dan Tahniah kepada para peserta Bengkel Plan Strategik Pemuda Pasca PRU 12 !
(Kyusuk sangat memikirkan idea terbaik utk Gerakan Islam)
(Usai program program makan tgh hari di Ani Sup Utara)
(Kelihatan perbincangan masih rancak walaupun di tempat makan)
Program yang julung-julung kalinya diadakan bertujuan merapatkan silaturrahim antara kedua dua dewan dan juga menggalakkan ahli pemuda untuk terus dan sentiasa beriadah.
Program riadah badminton Pemuda telah pun lama berlangsung pada setiap minggu, Jumaat malam Sabtu. Ia merupakan tempat Pemuda berkumpul secara santai sambil mengeluarkan peluh. Alhamdulillah, sambutan setakat ini menggalakkan dari kalangan Pemuda AJK dan juga diperingkat cawangan.
Adalah menjadi harapan agar program ini dapat disebarluaskan kepada seramai mungkin Pemuda untuk turut sama dalam program riadah mingguan ini. Program yang dianjurkan oleh DACS (Department of Art,Sport and Recreational) DPPK Puchong ini insya allah akan diteruskan dan dikembangkan dari semasa ke semasa.
Sebarang pertanyaan, boleh terus menguhubungi Sdr Azwan, DACS Pemuda ataupun email ke alamat pemudapuchong@gmail.com
Berikut sedikit gambar dari aksi perlawanan persahabatan tempoh hari.
Dua perkara yang meragut khayalan daripada terus dibuai kealpaan :
1. Kes Murtad Pertama yang disahkan undang-undang di Malaysia
Sangat mengejutkan! Ya Allah, selamatkan diri kami daripada fitnah besar yang bakal menimpa umat kami Ya Allah. Kalau zaman selepas kewafatan Rasulullah yang hanya baru beberapa ketika wafatNya Baginda, Saidina Abu Bakar meletakkan priroriti untuk memerangi orang Islam yang ingkar mengiktiraf syariat Islam (zakat).
Kini ummat Islam kita bukan sekadar tidak mengiktiraf syariat Islam itu (yang boleh menyebabkan murtad yakni terkeluar dari agama Islam) tapi sudah boleh mendabik dada menyatakan sekiranya 'sepertimana seorang bukan Islam itu bebas menganut agama Islam, begitu jugalah ia bebas untuk meninggalkan agama Islam menganut semula agama asal-Nya!'.
Nah! Mana pemimpin yang begitu lantang mempertahankan kedaulatan Melayu dan Islam! Mana orang-orang bangsawan yang mengagungkan ketuanan Melayu Islam! Mana? Mana?
Untuk detail perkara ni,sila rujuk ke sini.
2. Isu bantuan kemanusian untuk taufan di Myanmar.
Sungguh sayu, cuma kesedaran dan coverage tidak diberikan seluas tragedi Tsunami melanda Aceh beberapa tahun lalu.
Tolong baca artikel di Saifulislam.com berhubung perkara ini. Klik SINI.
Hulurlah apa jua bantuan yang kita mampu. Islamic Relief Malaysia juga ada menyediakan saluran untuk dihulurkan derma. Rujuk link itu di SINI
Agak teruja juga bila Kerajaan Negeri Selangor telah mengumumkan peruntukan segera bernilai RM 1 juta ringgit untuk dihulurkan bantuan kemanusian kepada mangsa di Myanmar melalui Yayasan Amal. Takbir !!!
Usrah bukan lagi sesuatu yang asing dalam diri seorang pejuang/jundullah dalam mana-mana gerakan Islam.Khususnya dalam parti kita yang tercinta ini,usrah merupakan elemen terpenting dalam proses pentarbiyyahan ahli dan juga pimpinan.
Pelbagai lapisan usrah diadakan sekarang ini. Ulama' dengan usrah Dewan ualama' negeri,Kawasan dengan usrah gabungan sendiri dan cawangan dengan usrah masing-masing.Begitu juga DPPK Puchong telah sekian lama dengan usrah Dwi Bulanan yang melibatkan seluruh AJK dan juga Ketua Pemuda Cawangan.
Biarlah macam mana pun definisi usrah yang diberikan, ianya lebih berorientasikan menyatukan fikrah dan memperkuatkan ukhuwwah.Kebiasaannya, kedatangan usrah diwajibkan. Tapi masih ramai yang tidak menghadirkan diri.Jenuh naqib mengumumkan,ajk menyebarkan,sahabat menghulurkan tangan, tapi bagi yang tetap tidak datang (tanpa sebarang keuzuran) masih juga tidak datang.
Barangkali, ada yang berfahaman usrah adalah suatu sessi dua hala.Dan ia berlaku dalam suasana perbincangan yang dimoderatorkan oleh seorang Naqib tetap. Kalaulah usrah itu ibaratnya satu hala dan 'naqib jemputannya' adalah orang yang bertukar-tukar, maka ahli merasakan ianya tidak lebih daripada satu lagi sessi kuliah agama,sessi ceramah isu semasa,sessi pembacaan buku dan kitab dan lain-lain definisi.
Mungkin sesetengah ahli juga menjangkakan kehadiran didalam usrah juga harus melibatkan mereka untuk berkongsi idea dan pendapat mereka, yang mungkin sebelum ini tidak kedengaran.Pelbagai isu-isu penting yang kebanyakannya dibincangkan secara 'tertutup' bersama beberapa orang wakil-wakil daripada tempat masing-masing. Mungkin juga objektif ukhuwwah yang sepatutnya dicapai melalui usrah tidak kesampaian. Kerana lebih habis pengisian daripada naqib jemputan yang diberikan secara sehala untuk diterima dan dihadamkan tanpa dikupas,dibahas diwacanakan, mereka terus bersalaman dan bersurai.
Barangkali,sessi usrah kita perlu lebih komunikasi,sentuhan,gurauan dan cambahan agar objektif menyelaraskan fikrah dan mempertautkan ukhuwwah akan sentiasa mekar dalam suasana gerakan kita yang sentiasa mendepani cabaran yang semakin hebat.
Tanggal 27 April 2008, satu program Rehlah DPPK Puchong telah diadakan di sekitar Sabak Bernam. Program julung-julung kali ini juga bukan sahaja melibatkan AJK DPPK, malah juga anggota keluarga masing-masing. Program ini juga diserikan lagi dengan kehadiran Al Fadhil KUU Puchong serta beberapa sahabat diperingkat cawangan.
Program dimulakan dengan sessi memancing oleh muslimin di Sungai Sabak Bernam. Masing-masing dengan joran dan pancing masing-masing. Menaiki dua bot disewa khas untuk menyelusuri sungai sabak yang mempunyai ketenangan hasil ciptaan Tuhan. Subhanallah! Aduh, tak dapat digambarkan. Meskipun target menangkap udang tak berapa berhasil, tapi pengalaman sangat berharga!
Pada malamnya, alhamdulillah majlis makan malam bersama seluruh berserta,pemuda dan keluarga diadakan di restoran di Sg Hj Durani. Alhamdulillah, licin semua lauk dikerjakannya.

Alhamdulillah, objektif bagi merapatkan lagi hubungan antara sesama pemuda,anggota keluarga dan rakan-rakan sememangnya tercapai. Walaupun target mendapatkan udang yang banyak tidak berjaya, tapi ia merupakan satu pengalaman yang berharga.Untuk gambar-gambar yang lain, boleh ke SINI !
Artikel dari Utusan Malaysia - Kepentingan Melayu: Pas, PKR sedia muafakat dengan UMNO
Artikel dari Harakahdaily - Permuafakatan Melayu penting, perpaduan kaum tetap agenda utama
Tiada siapa yang boleh menafikan hak-hak orang Melayu yang sudah termaktub dalam perlembagaan negara sejak sekian lama. Cuma yang dikhuatirkan perlaksaan agenda atas nama hak dan kepentingan Melayu seringkali di ambil kesempatan. Contoh terbesar , Dasar Ekonomi Baru, Dasar Wawasan Negara, semula tidak langsung mencapai golongan sasaran, iaitu bumiputera. Bukan setakat tak sampai ke BUMIputera, malah MELAYputera pun tak sampai, yang sampai hanyalah UMNOputera.
Jadi, setiap kenyataan dan langkah untuk duduk semeja dengan UMNO haruslah sangat berhati-hati ibarat "menarik rambut di tepung,rambut tak putus,tepung tak berselerak".
Ya, siapa yang sanggup melihat bangsa Melayu merempat di tempat sendiri, tapi bukan kah itu yang terjadi selama 50 tahun UMNO/BN memerintah negara? Seperti kata Tuan Guru Presiden, sudah sampai masanya penyatuan orang Melayu di bawah PAS dan Pakatan Rakyat dan bukan lagi UMNO dan BN!
WAKIL DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN PUCHONG
SEMPENA MUKTAMAR PAS KAWASAN PUCHONG 2008
13 APRIL 2008 / 6 RABIULAKHIR 1429H
Assalammualaikum w.b.r.
Bismillahhirrahmanirrahim…
Yang dihormati Tuan Pengerusi Tetap;
Yang dikasihi lagi dihormati, Al Fadhil Ustaz Mohd Nasir bin Yusof, YDP PAS Kawasan Puchong;
Yang dikasihi, Tuan Haji Ramli bin …, Timbalan YDP PAS Kawasan Puchong;
Saf Pimpinan dan AJK PAS Kawasan Puchong;
Ketua Pemuda PAS Kawasan Puchong dan pimpinan;
Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Puchong dan pimpinan; dan
Seterusnya seluruh Ketua-ketua dan pimpinan cawangan serta ahli-ahli PAS Kawasan yang berada di dalam dewan yang bertuah ini.
Pertama kali ana mengambil peluang ini untuk memujuk diri ana sendiri dan seterusnya semua yang hadir untuk menzahirkan setinggi-tinggi rasa syukur kehadrat Allah s.w.t, Tuan Punya dunia, kerana dengan limpah dan izinNya, maka sekali lagi kita berpeluang untuk terus hidup di atas muka bumi Allah dan seterusnya menunaikan satu tanggungjawab besar sebagai sebuah parti siasah yang sah di sisi undang-undang Malaysia iaitu bermesyuarat agung sebagaimana tuntutan perlembagaan dan akta pertubuhan.
Ana juga ingin merakamkan ucapan terima kasih secara peribadi di atas kepercayaan yang diberi oleh teman-teman pimpinan DPP Kawasan Puchong yang telah memilih ana untuk mewakili Dewan Pemuda, menggunakan lisan ana yang serba daif ini, untuk berucap bagi mewakili suara Pemuda PAS Kawasan Puchong.
Terlebih dahulu ana ingin memohon jutaan ampun dan maaf, jika ada kata-kata yang bakal terpacul dari ana nanti, samada sedar atau tidak, samada sengaja atau tidak diduga, tidak enak didengar, tidak mampu dihadam dengan baik malah gagal mencapai maksud yang sepatutnya. Sebarang kelemahan itu, pastinyalah milik ana, seorang insan biasa di sisi Allah.
YDP dan sidang hadirin sekelian.
PENDAHULUAN
Umum mengetahui. Bahkan fakta mengesahkan. Kebingungan melanda. Dan ada ketikanya, kita masih terpinga-pinga, antara tidak atau percaya, pimpinan negeri yang namanya Selangor Darul Ehsan sudah bertukar pemerintahnya. Dan mengikut senario politik Negara yang kian panas dan bergelora, pastinya dengan izin Allah jua, Negara yang namanya Malaysia ini, tidak mustahil bertukar Perdana Menterinya dalam masa terdekat ini, insyaAllah.
Kita terkejut kerana menang, secara keseluruhannya. Lawan kita pula terkejut kalah! Suatu nikmat yang tersangat asing bagi kita. Pastinya juga di pihak lawan situasi yang ada pada hari ini, begitu asing sekali. Biarpun secara faktanya DUN N29 Seri Serdang, kita telah terima hakikat akan tidak menangnya kita, bukan tewas, dengan majoriti 45 undi, tetapi khabar duka yang kita terima di awal Subuh 9 Mac lalu, rupanya ingin diganti Allah dengan kemenangan yang lebih besar.
Setelah dianalisa secara komprehensif, teliti dan berdasarkan fakta yang benar dan jelas, kemenangan BA di Selangor khususnya adalah kerana berlakunya perubahan secara besar-besaran di kalangan orang bukan Melayu untuk menukar kepimpinan bobrok pada waktu itu. Kemenangan ini telah memperlihatkan kesedaran politik yang luar biasa dari kalangan rakyat yang bukan berbangsa Melayu, khususnya Cina dan India. Ini kerana di saluran dan UPU yang bermajoritinya Melayu, kecenderungan pengundi masih lagi bersama UMNO dan BN. Justeru itu hakikat kemenangan ini lebih terarah kepada keberanian kaum Cina dan India dalam melakukan perubahan.
Keberanian kaum Cina dan India ini tidak lain berpunca dari kelemahan BN mengurus negara, kenaikan harga barang keperluan yang sangat meresahkan yang akhirnya menyebabkan rakyat merasa tertindas dan tidak sabar untuk memberontak. Dan bila orang India dan Cina memberi undi mereka kepada parti selain BN, maka undi mereka itu khususnya jika diberi kepada calon PAS, pastinya pola pengundian mereka itu bukan berdasarkan kesedaran Agama. TETAPI ianya adalah satu kesedaran politik.
CABARAN MENGISI / MENGURUS KEMENANGAN
Perubahan lanskap dan iklim politik Malaysia hari ini ternyata amat mengejutkan. Perubahan ini secara tersiratnya membawa satu khabar iaitu, Allah telah mendatangkan satu ujian yang maha besar malah maha hebat untuk kita semua. Samada kita mampu untuk mendepani ujian ini atau ada diantara yang bakal tewas dengan mengundur diri dari medan, hanya Allah jua yang Maha Mengetahui. Maka tak hairanlah bila Nabi s.a.w. pernah bersabda mahfumnya: -
“Aku tidak takut jika umatku diuji dengan kesusahan. Tetapi aku amat takut jika umatku diuji dengan kesenangan (kemenangan)”.
Hadis ini wujud lebih 1,400 tahun yang lampau tetapi relevannya telah kita rasakan sekarang. Ada ketikanya kita masih menggosok-gosok mata. Ada ketikanya kita masih tidak percaya. Bahkan lebih teruk, jika ada di antara kita yang masih terpinga-pinga. Begitu pantas masa berlalu, dari tarikh 8 Mac 2008, sudah sebulan kita menerajui Negeri Selangor. Dan sepantas masa itu juga kita telah lihat sendiri. Kita telah baca sendiri. Kita telah dengar sendiri keputusan, demi keputusan, perancangan demi perancangan, polisi demi polisi diutarakan oleh pimpinan negeri khususnya dari MB Selangor sendiri, Tan Sri Khalid Ibrahim.
Di dalam kita menyusuri denai kemenangan ini. Di dalam kita melangkahi jalan kemenangan ini. Dan di dalam kita mula berlari di lebuhraya kemenangan ini, tidak sedikit ujian Allah datang menjengah, menyapa bahkan adakalanya menyergah! Seketika kita bagai orang mamai, tidak dapat menyerap usikan, pertanyaan, sapaan malah pertanyaan yang sangat mendasar tentang sesuatu perkara.
Mungkin disinilah rahsia Allah yang Maha Agung, disimpanNya ujian kemenangan ini hingga ke suatu detik yang kita sendiri tidak duga.
Dewan Pemuda amat bimbang dengan kemenangan PR di Selangor. Pastinya bimbang kami juga bersebab. Kemenangan ini mungkin ujian Allah yang telah mempertanggungjawabkan kepada kita satu tanggungjawab yang tidak mampu kita pikul. Bila Allah beri kemenangan, bererti Allah telah beri tanggungjawab. Bila tanggungjawab ini gagal dilaksana dan diurus dengan baik, maka ianya bakal menjadi sebab untuk rakyat menolak kita pada masa akan datang. Penolakan rakyat terhadap BN tidak membimbangkan, tetapi yang lebih membimbangkan apabila rakyat menolak kita sebab tidak percaya lagi dengan kemampuan dan kepercayaan yang telah diberikan.
KERESAHAN PEMUDA
Umpama menunggu Pak Long tak pulang dari meminang. Hati kami diruntun bimbang, cemas serta resah gelisah. Apakah pinangan kami diterima? Berapa kena hantarannya? Berapa panjang tempoh bertunangnya? Yelah kalau ikutkan orang muda, bertunang dan nikah tu sepatutnya berjalan dalam hari yang sama! Bukannya gelojoh atau tidak beradab, tetapi dah nalurinya sebegitu.
Begitulah kurang lebih maksud keresahan kami sejak PR mula memerintah. Bagai peluru machine gun, pelbagai perkara menerpa kami secara tiba-tiba. Persoalannya bertalu-talu. Tak henti-henti. Bahkan terasa kurang oksigen yang dihela berbanding haburan persoalan yang masih menjadi tanda tanya.
Persoalannya sangat basic, iaitu BILA deretan janji dalam manifesto akan dilaksana? Bila? Dan bila? Dan Bila??? Antara kuntau yang kami guna tak lain hanyalah meminta orang yang bertanya agar sabar dan sabar dan sabar. Kami juga sedar dalam ramai yang bertanya itu ada yang berbau usikan. Adakalanya berbau gurauan. Tak kurang juga yang berupa hinaan, lekehan serta cacian yang melayakkan sibertanya itu dicampak ke Sungai Kelang!
Kebimbingan kami ini, insyaAllah tidak ada kena mengena dengan kecenderungan untuk meninjau atau menonjolkan diri untuk mengimpikan jawatan-jawatan yang mendatang selepas kemenangan terjelma. Kami bukan bekerja ke arah itu.
Isunya di sini adalah maklumat. Kami tiada maklumat yang jelas dan pantas untuk mendepani persoalan tadi. Kami hampa kerana merasa gagal untuk memberikan satu jawapan yang lebih bernas dari SABAR. Syukurlah dalam dewan pemuda kami mempunyai seorang yang amat sabar, sesuai dengan dengan ampunya nama. InsyaAllah dulu, kini dan selamanya
PENGUKUHAN PARTI
Dalam menempuh dan mengisi lompang kemenangan ini, riuh rendah di sana-sini semangat serta cadangan untuk membuka cawangan sebanyak mungkin. Adakalanya kita merasakan cawangan baru perlu dibuka sebanyak-banyaknya kerana mengambil kesempatan dari sentimen rakyat yang ada.
Sebelum kita berbicara lanjut tentang pembukaan cawangan, ayuh kita muhasabah tentang kekuatan cawangan yang ada. Dari 29 cawangan, berapa cawangan yang lengkap organisasinya? Berapa banyak cawangan yang mampu dan telah mengadakan mesyuarat agungnya? Berapa banyak cawangan yang hidup segan mati tak mahu keadaannya? Dan berapa banyak cawangan yang secara hakikatnya telah layak untuk ditalqinkan dan dikubur tanpa nisan??? Dan berapa banyak pula cawangan yang perlu dibuat solat ghaib sahaja? Nama cawangan ada, tapi orang dan pendukungnya entah ke mana!
Dalam kita mengejar kuantiti, berapa ramaikah kualiti ahli dan pimpinan yang komited berjaya dihasilkan? Janganlah kita seronok dan berlumba-lumba buka cawangan hanya kerana PKR buka cawangan, sedangkan cawangan yang di kira otaipun, ada ketikanya amat sukar bergerak. Bahkan cawangan ana di Apartmen Perdana dulu telah bekubur tanpa nisan setelah terajunya, saudara Zulkifli Hassan mengundur diri dari medan utama.
Ana masih ingat, sewaktu kami mengadakan mesyuarat agung cawangan bilangan yang hadir kecil sahaja. Justeru itu semua yang hadir dilantik untuk memegang jawatan yang kami sendiri tak tahu hujung pangkalnya? Korum yang hadir dikira termasuk isteri yang tidak hadir? Ini apa cerita ni???
Janganlah keghairahan kita membuka cawangan kerana untuk melihat satu demi satu cawangan berkubur akhirnya. Kita kena lihat realiti di Puchong khususnya di Puchong Perdana, sebagai contoh. Secara kasar, tenaga untuk bekerja memenangkan parti begitu hebat. Entah dari mana-mana muncul tenaga dan bantuan yang silih berganti bahkan tidak putus-putus. Sebahagiannya begitu teruja dengan suasana pesta selama 2 minggu itu. Tak hairanlah semasa kursus sebelum PRU12 di Kampung Kenangan dulu, sang penceramah ada menyebut bila tiba masa berperang, akan ada ahli dan bukan ahli yang akan akan bekerja betul-betul 2 minggu sahaja! Hakikatnya jelas, selepas pilihanraya tenaga ini tadi sudah tidak bernafsu lagi untuk berorganisasi. Dijemput mesyuarat tak datang. Usrah tak hadir dan sebagainya.
Satu lagi virus yang menimpa cawangan ialah kurangnya minat untuk memegang jawatan. Yang kalau dipaksa dan diberi juga, akan mengakibatkan golongan ini gagal berfungsi dan akhirnya cawangan ini bakal menghitung hari-hari kematian mereka. Dalam kes-kes yang lebih ekstrem, ketua cawangan adalah ketua pemuda dan ketua juga terhadap apajua aktiviti! Dan kalau dah keterlaluan beban yang dipikul, akibatnya pimpinan di peringkat ini akan turut ghubul ruyup!
Kita juga perlu menerima hakikat bahawa kita sebenarnya, insyaAllah dan Alhamdulillah mempunyai ramai penyokong di kalangan orang Melayu di luar sana, cuma mereka agak keberatan untuk berorganisasi, terlibat dengan program, mesyuarat dan lain-lain. TETAPI bab mengundi, insyaAllah mereka tetap akan memihak kepada kita.
DPP telah merasai keperitan kualiti ahli di kalangan pemuda. Bilamana dalam mesyuarat agung yang lepas hanya 13 dari 29 cawangan yang berdaftar menghantar wakil! Menanti kehadiran ahli ke mesyuarat agung ibarat menanti keputusan pengiraan undi di saluran-saluran. Ianya penuh dengan debaran…
Bagi cawangan sedia ada atau cawangan baru yang bakal tumbuh atau cawangan yang bakal menerima keahlian yang baru, kami amat berharap agar watak-watak pemuda ini ditampil dan dimotivasikan ke dalam dewan kami, iaitu Dewan Pemuda. InsyaAllah mereka ini akan diproses untuk menjadi future leaders atau future followers yang mempunyai asas yang baik untuk mengisi kekosongan pimpinan yang silih berganti, dan kalau tidak menjadi pimpinanpun, insyaAllah akan menjadi ahli yang setia dan sedia untuk digerakkan bila perlu.
Pimpinan kawasan disaran untuk melihat perkara ini secara jujur dan menyeluruh. Iaitu cawangan perlu diperkukuh, keahlian perlu ditambah dengan ahli-ahli baru yang berminat dan kemudiannya diserap kemana-mana cawangan berhampiran sediada. Ahli-ahli di cawangan pula perlu menerima kehadiran mereka dengan tangan terbuka sebagaimana kaum Ansar menerima kehadiran Muhajirin Mekah yang berhijrah. Pembukaan cawangan baru hanya layak dipertimbangkan jika ahlinya benar-benar wujud secara fizikal dan tidak wujud secara halimunan atau pertimbangan dibuat atas keselesaan mempunyai keahlian minima sahaja.
Dengan penubuhan kelab penyokong PAS, tenaga mereka ini boleh dikenalpasti dan digerakkan bila perlu. Secara tidak langsung kita bakal membuka satu episod baru lembaran dakwah Islam di kalangan teman-teman yang bukan Islam. Berkenaan cara dan kaedahnya, kami yakin dan percaya strategi yang berkesan boleh difikir dengan panduan KUU yang kami yakin amat berwibawa untuk membawa dan menterjemah risalah dakwah ini.
PENGISIAN JAWATAN BARU DAN MENDATANG
Semangat yang tinggi dan sebahagiannya atas dasar untuk melihat musuh kecundang dan dikuburkan hidup-hidup, maka banyak cakap-cakap yang didengar untuk mengambil-alih itu dan ini. Ini fenomena biasa. Maklumlah dah 50 tahun ditindas. Dah 50 tahun menongkah arus. Dah 50 tahun dibelenggu dan sebagainya, maka bila tiba tika dan saat tidak diduga ini, maka berlakulah kejutan-kejutan serta renjatan saraf yang bukan kecil kesannya.
Kalangan ahli dan penyokong khususnya sudah membicarakan topik untuk mengambil-alih AJK surau dan masjid. Menjadi JKP dan Ahli Majlis PBT dan sebagainya. Sekali lagi ini adalah fenomena biasa. Cuma di peringkat pimpinan kawasan, isu ini perlu diperhalusi dan ditangani dengan bijak. Sebelum mula mencalon atau mencadang orang itu dan orang ini, lihat balik kepada kekuatan yang ada pada parti, pada ahli dan pada organisasi kita. Pun begitu pencalonan perlu didasari atas platform roh tanggungjawab dan bukannya roh perut!
Pertama sekali perlu dikenal-pasti senarai tanggungjawab yang menunggu baik dari segi jawatan dan kemampuan. Tak kurang penting agenda yang ingin dibawa dan diketengahkan. Apa objektif utamanya? Bagaimana kaedah perlaksanaannya? Bagaimana rupa organisasinya?
Selepas dari itu, lihat balik kepada kekuatan sedia ada. Bagi calon jawatan JKP dan Ahli Majlis, Dewan Pemuda berpendapat calon yang paling sesuai dipertimbang adalah dari kalangan ahli yang bekerja secara freelance, ada keterampilan, mesra rakyat bukan mesra parti (kerana akhlak pelimpin yang ditonjolkan biasanya akan menjadi asbab untuk rakyat cenderung kepada kita), ada leadership quality dan yang paling penting mesti faham dan sangat jelas tentang beza di antara kepentingan rakyat, kepentingan parti dan kepentingan peribadi. Calon perlu bijak, bila ketikanya untuk memakai kopiah parti dan bila ketikanya pula kita perlu bersongkok dan bertopi. Faktor ini kami lihat akan menjadi the turning point, samada acuan kepimpinan kita bukan hanya berbeza, tetapi ianya mestilah dilihat sebagai berbeza.
Berkaitan calon freelance, pimpinan pastinya sedar, dimana ramai pimpinan dan ahli kita bekerja tetap. Sudah ada tanggungjawab sedia ada sebagai sumber rezeki keluarga iaitu patuh kepada arahan dan keperluan majikan. Oleh itu dalam mencari calon sesuai untuk jawatan JKP dan Ahli Majlis, golongan ini sebenarnya perlu dikenal-pasti. Bagi kami, keselesaan dan kebahagiaan rakyat terbanyak adalah agenda utama tidak kira dari parti mana mereka datang. Pada peringkat 30 hari pertama ini, sedikit sebanyak, kita sebenarnya telah tewas dari faktor masa untuk bekerja khususnya untuk jamaah.
UMNO BN telah meninggalkan terlalu banyak contoh kepada kita. Diskriminasi, menjaga kepentingan parti dan individu adalah menu utama mereka dulu, kini dan setakat ini. Harapan kami janganlah contoh buruk ini bakal berjangkit virusnya kepada pimpinan yang kita pilih nanti. Dengan terlantiknya calon kita nanti, kita sebenarnya sedang mencagar dan memperjudi maruah parti di mata masyarakat lebih dari kita memperjudi maruah diri sendiri.
Elakkan perebutan dan lobi-melobi sesama kita untuk mengisi jawatan ini. Hakikatnya, kita bukan menerima jawatan yang namanya JKP atau Ahli Majlis yang nanti akan dibekalkan logo yang berprestij, bukan itu kemegahannya, jauh lebih dari itu kita sebenarnya menerima tanggungjawab dan amanah yang bakal ditanya Allah nanti. Kalau YAB Lim Guan Eng sudah berkata beliau akan mengikuti acuan Khalifah Umar Abd Aziz dalam memerintah Pulau Pinang, yang insyaAllah akan sama-sama kita doakan, siapalah kita kat Puchong hendak bermegah dan merasa hebat dengan jawatan sebegini.
Diperingkat surau dan masjid pula, sekali lagi kita tidak perlu gopoh dan gelojoh. Kalau ikutkan hati, kita nak ambil-alih serta-merta dan buangkan kesemua AJK yang ada ke lombong. Biarpun kebejatan mereka ada yang nyata dan ada yang hanya takat-takat dengar orang berkata, tapi akhlak kita wajar mendepani segala tindakan. Kita perlu ada strategi. Perlu ada check-list. Dan kalau sudah berbincang tentang calon-calon yang sesuai atau tentang shadow cabinet, jangan pakai tangkap muat aje, tanya dan selidik dulu bakal-bakal calon. Jangan hanya gah untuk mengambil-alih kuasa, tetapi selepas itu terpinga-pinga. Namun begitu untuk melantik pimpinan di peringkat ini ada satu pra-syarat utama iaitu orang yang layak mentadbir Rumah Allah ialah orang yang selalu datang dan memakmurkan masjid dan surau. Kalau tak mampu cukuplah setakat jadi jemaah sahaja.
Apa yang lebih penting, ruang dan medan dakwah sebenarnya telah terbentang dan terbuka seluas-luasnya tanpa sekatan, insyaAllah. Sebagaimana keperluan, inilah ketikanya nama semua ustaz atau ustazah ataupun penceramah dalam dan luar, dimajukan nama-nama mereka untuk ditauliahkan. Kemudian, guna lesen ini dengan baik untuk mendekatkan masyarakat dengan Allah. Rindu dan tak sabar rasanya untuk memanggil nama-nama besar berceramah, berkhutbah atau berkuliah di surau atau di masjid kita.
Di era kemenangan ini pula, apa yang telah berlaku sejak lebih 17 tahun di Kelantan iaitu di Dataran Ilmu, Dewan Zulkifli Kota Bahru atau di Masjid Rusila, Marang perlu disuburkan di Selangor. Sebagai permulaan, masjid Negeri Shah Alam boleh memula untuk menyuburkan roh ilmu kepada masyarakat menggunakan kaedah dan konsep yang sama secara mingguan.
KESIMPULAN
30 hari yang pertama di era kemenangan ini sesungguhnya sangat mencabar. Pelbagai ujian datang silih berganti. Biarpun ada ketikanya, persegeseran menjadikan hati tercalar, tapi janganlah kita biarkan luka itu menjadi kudis. Kita masih dalam situasi berjuang untuk menegakkan keadilan dan kebajikan kepada rakyat, justeru itu pendekatan-pendekatan berbentuk pro-aktif perlu diperhalusi, disepakati dan difoumulakan dan jauh lebih utama dihebahkan kepada yang wajar menerimanya.
Dalam apa keadaanpun, ukhuwah sesama kita perlu dipertahan dan disuburkan. Kelemahan inidividu haruslah dilihat dan diterima seadanya, sedangkan memaafkan itu sesungguhnya jauh lebih baik. Kepentingan jemaah wajar diutama jauh dari kepentingan peribadi.
Bagi menyahut seruan dan tuntutan agar medium berkomunikasi dalam gerakan Islam tidak hanya terhad semasa mesyuarat,usrah dan program-program rasmi, DPPK Puchong telah melangkah setapak lagi dengan mewujudkan blog rasmi ini.
Tertubuhnya blog ini,bukan sahaja diharap agar dapat menguatkan hubungan komunikasi antara Jawatankuasa Pemuda Kawasan dengan ahli pemuda kawasan , tetapi juga diharap agar dapat menjadi medium terus komunikasi DPPK Puchong dengan masyarakat akar umbi.
Untuk sebarang pertanyaan berkaitan Dewan Pemuda PAS Kawasan Puchong, boleh la diajukan terus di blog ini atau pun kepada email rasmi DPPK Puchong di alamat pemudapuchong@gmail.com.
Ayuh, doakan agar usaha ini dapat istiqamah dan terus memberi manfaat kepada kita semua.
Salam perjuangan!



