Tanggal 12/12/13 ialah tarikh yang pasti akan diingati oleh gerakan Islam seluruh dunia yang mana pada tarikh ini dunia menjadi saksi telah syahidnya seorang mujahid iaitu Sheikh Abdul Quader Molla, Penolong Setiausaha Agung Jamaat-e-Islami Bangladesh ditali gantung. Hanya kerana menuntut keadilan dan mempertahankan kebenaran. Beliau dituduh terlibat dalam jenayah bersubahat dengan tentera Pakistan membunuh 344 orang awam dan beberapa tuduhan jenayah lain semasa perang pembebasan Bangladesh 1971.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Ahzab ayat 23 yang bermaksud:
من المؤمنين رجال صدقوا ما عاهدوا الله عليه ۖ فمنهم من قضى نحبه ومنهم من ينتظر ۖ وما بدلوا تبديلا
“ Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela agama Islam) maka diantara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya (lalu gugur syahid), dan diantaranya ada yang menunggu giliran dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) walau sedikitpun.”
Sheikh Abdul Quader Molla lahir pada Ogos 1948,merupakan ahli Jamaat-e-Islami (Parti Politik Islam Terbesar di Bangladesh). Terlibat dengan gerakan islam semenjak di usia remaja lagi, menyertai persatuan pelajar di Rajendra College yang dikenali sebagai ‘Islami Chatra Sangha’ dan dilantik sebagai presiden organisasi itu. Pada 5 Februari 2013 Mahkamah Agung Bangladesh telah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada beliau, walaubagaimanapun di atas desakan dari kumpulan sekular yang bencikan islam pada 17 September 2013 Mahkamah Agung Bangladesh telah menukar hukuman penjara seumur hidup kepada hukuman gantung. Dan pada tarikh 12 Disember 2013 kembalilah rohnya yang mulia bertemu dengan Sang Pencipta Yang Maha Mulia.
Beberapa hari sebelum beliau syahid di tali gantung, beliau berkata, “Jika aku syahid maka itulah kejayaan yang terbesar dalam hidupku. Setiap titisan darahku akan mempercepatkan kemajuan gerakan Islam dan akan menyebabkan kemusnahan penindas . Aku tidak bimbang tentang diriku, akan tetapi aku mengambil berat tentang masa depan negara dan gerakan Islam. Kematianku tidak akan berlaku menurut keputusan mana-mana pihak. Masa dan cara kematianku akan berlaku hanya mengikut keputusan Allah. Jadi, aku akan menerima keputusan dari Allah ini dengan senang hati.”
Begitulah kata-kata yang lahir dari hati suci seorang mujahid yang taqarrub kepada Allah SWT, bila mana hati benar-benar ikhlas kepada Allah SWT, tiada apa lagi yang boleh menghalang walaupun kematian berada di depan mata, merelakan diri menjadi sasaran, biarkan terpaksa menangung derita,hanya redho Ilahi dan mati syahid yang beliau dambakan. Allah SWT berfirman dalam surah Ali Imran,ayat 169,
ولا تحسبن الذين قتلوا في سبيل الله أمواتا ۚ بل أحياء عند ربهم يرزقون
"Dan jangan sesekali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh(syahid) pada jalan Allah itu mati.(Mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup(secara istimewa di sisi Allah dengan mendapat rezeki.”
Sesungguhnya pemergian beliau bukanlah bermakna perjuangan ini telah terkubur, akan tetapi ia menjadi sumber kekuatan kepada ribuan mujahid yang lain untuk meneruskan pejuangan yang mulia ini. Bahkan dengan syahidnya Sheikh Abdul Quader akan menyuburkan lagi semangat jihad ini. Beginilah seorang mukmin melihat kehidupan dan kematian ‘hidup mulia atau mati sebagi syuhada’. Kesilapan besar buat golongan sekular kerana gagal memahami bahawa nilai seorang mujahid itu amat tinggi selepas kesyahidannya. Firman Allah SWT dalam Surah As-Saff ayat 10 dan 11
يا أيها الذين آمنوا هل أدلكم على تجارة تنجيكم من عذاب أليم تؤمنون بالله ورسوله وتجاهدون في سبيل الله بأموالكم وأنفسكم ۚ ذلكم خير لكم إن كنتم تعلمون
"Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih? (yaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.
Dalam ayat di atas Allah SWT melamar kepada orang mukmin satu perniagaan yang tidak akan rugi malah mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda di dunia mahupun di akhirat, iaitulah beriman kepada Allah SWT dan berjihad di jalanNya. Benar bahawa perjuangan Islam ini bukan suatu yang mudah, menuntut kita mengorbankan segalanya sehinggakan nyawa sendiri.Namun itulah nilai yang sepatutnya dibayar demi sebuah kemenangan. Walau apa pun yang berlaku, Yakinlah kita bahawa kemenangan itu pasti datang. Orang-orang kafir hanya kelihatan kuat pada zahirnya, pada hakikatnya mereka lemah, sedangkan kita ada Allah yang memiliki kemenangan tersebut. Sesungguhnya dunia ini bukan untuk kita, tetapi untuk mereka yang tidak inginkan syurga di akhirat kelak. Semoga Allah menjadikan kita dalam kalangan orang-orang yang syahid di jalanNya. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.
UNIT PENERANGAN DAN DAKWAH
LAJNAH PENERANGAN
DEWAN PEMUDA PAS PUCHONG
Dewan Pemuda PAS Puchong melahirkan rasa sukcita di atas perlantikan YB Iskandar Abdul Samad ke jawatan utama PAS Negeri Selangor itu sebaik sahaja mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat memutuskan perkara tersebut. DPP Puchong merasakan perlantikan tersebut sangat tepat dengan perkembangan politik di negeri Selangor yang kini masih diterajui oleh Pakatan Rakyat.
Ucapan Tahniah ini merupakan penghargaan yang tidak terhingga DPP Puchong zahirkan bagi melihat PAS negeri Selangor akan terus menjana kecemerlangan bukan sahaja dari aspek pengorganisasian dalam pentadbiran kerajaan negeri, bahkan lebih daripada itu termasuklah pembentukan jati diri atau tarbiyah Ahli PAS yang lebih mantap dan juga pengimejan PAS sebagai sebuah Parti Islam yang boleh diharapkan untuk menjaga kepentingan Agama Islam dalam negeri Selangor ini serta sebuah parti yang tidak mengabaikan mana-mana golongan termasuklah anak muda atau remaja yang semestinya menjadi perhatian kami selaku pemimpin dalam kalangan anak muda.
DPP Puchong turut berbesar hati untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Bekas Pesuruhjaya Selangor pada sesi yang lalu atas perkhidmatan yang cemerlang terutamanya dalam membantu PAS memperoleh kemenangan yang lebih besar dalam PRU 13 yang lalu. Jasa dan keprihatinan YB Dr. Rani sebelum ini hanya Allah Sahaja yang boleh membalasnya. Kesepaduan dan kerjasama yang erat antara PJ lama dan baru pasti akan dapat memacu PAS Selangor ke arah yang lebih baik untuk masa-masa yang mendatang.
Akhir sekali, kami mendoakan agar YB Pesuruhjaya yang baru akan terus diberi kekuatan Oleh Allah SWT untuk memimpin seluruh Ahli PAS di negeri Selangor ini ke arah yang lebih baik. Mudah-mudahan kita semua diberikan kekuatan untuk terus berjuang selagi hayat di kandung badan
MOHD ROSHARIZAN MOHD ROZLAN
KETUA DEWAN PEMUDA PAS PUCHONG
Dewan Pemuda PAS Selangor melahirkan rasa kesal atas tindakan gopoh akhbar The Star menyenaraikan Ustaz Ibrahim Libya sebagai sesat dan ganas.
Di dalam tulisan akhbar hari ini di bawah tajuk "Major cases involving violant deviant groups in Malaysia", akhbar ini secara sengaja dan tidak bertanggungjawab meletakkan nama Ustaz Ibrahim Libya bersama-sama ajaran-ajaran sesat dan ganas yang lain seperti Al-Maunah, Tuhan Harun dan Al-Mahdi.
Ia ternyata satu tindakan berniat jahat untuk mengelirukan masyarakat terhadap PAS kerana tokoh agama Ustaz Ibrahim Libya yang sinonim dengan Tragedi Memali ini adalah sebahagian tragedi yang melibatkan PAS.
DPPNS menafikan sekeras-kerasnya bahawa mereka yang terlibat dalam tragedi ini adalah sesat dan ganas.
Dalam peristiwa 30 tahun lalu ini, Ustaz Ibrahim Libya bersama anak-anak muridnya yang diserang oleh pihak polis dan mereka yang memulakan serangan. Ternyata ia berbeza dengan 3 kes yang dinyatakan oleh akhbar berkenaan.
Secara tidak langsung akhbar ini turut menghina kebarangakata Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang telah mencemar duli menziarahi di pusara Ustaz Ibrahim Libya dan para mangsa tragedi ini. Manakala Allahyarham Tuan Guru Omar Zuhdi, Pondok Lanai, Kedah telah mengeluarkan fatwa bahawa Ustaz Ibrahim Libya dan anak muridnya dikategorikan sebagai syahid.
Selain itu Majlis Fatwa Negeri Kedah tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa peristiwa Memali sebagai memerangi golongan sesat sebaliknya sekadar tidak mengesahkan istilah syahid bagi mereka yang terkorban di situ.
Ia ternyata satu perancangan jahat media untuk memburuk-burukkan PAS.
DPPNS menggesa agar akhbar tersebut memohon maaf kepada ahli keluarga Ustaz Ibrahim Libya dan Pas serta menarik balik tulisan berkenaan. Dalam masa sama DPPNS mendesak agar mana-mana pihak yang cuba untuk menyentuh berhubung isu tersebut hendaklah mendapat penjelasan dari pihak Pas terlebih dahulu agar luka yang telah lama terpendam tidak di bongkar sesuka hati oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, terutamanya kepada pihak editorial The Star agar lebih berhati-hati pada masa hadapan.
Syarhan Humaizi Halim
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
Kenyataan Akhbar Dewan Pemuda PAS Puchong
DPP Puchong menyokong kenyataan KETUA PENERANGAN PAS PUSAT, Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung isu Kenyataan akhbar YB Karpal Singh.
Dalam kenyataan akhbar YB Karpal Singh yang bertarikh 5 Nov 2013 yang disiarkan di dalam sinar harian online, beliau telah menyebutkan bahawa parti politik atau persatuan yang berasaskan kaum dan agama dibatalkan pendaftaran atau diubah suai agar boleh disertai oleh semua rakyat tanpa mengira batasan kaum dan agama. Perkara ini telah dibidas oleh Ketua Penerangan Pas Pusat, Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataannya dalam akhbar yang sama pada keesokan harinya yang mana Yang Berbahagia Dato' telah mengingatkan YB Karpal Singh Supaya tidak berkata mengikut selera semata-mata.
DPP Puchong melihat dari kacamata kelompok bawahan dalam Parti yang mana sentiasa ingin melihat kejernihan hubungan antara Rakan Sekutu dalam Pakatan Rakyat yang sentiasa menjadi perhatian rakyat marhaen, barisan pengamal media dan tidak ketinggalan pihak lawan iaitu Barisan Nasional yang sudah tentunya merasa gembira dengan pandangan terbaru YB Karpal Singh ini.
Dalam pemerhatian kami, YB Karpal Singh telah cuba mengheret isu parti dan pertubuhan berasaskan agama dan kaum ini ke dalam kancah permasalahan berkaitan isu kaliman Allah yang dibangkitkan oleh pertubuhan lain. Sebagai seorang ahli politik yang berpengalaman luas, beliau seharusnya berfikiran lebih matang dan mengambil kira impak-impak lain yang bakal mendatang dalam setiap kenyataan yang dikeluarkan di hadapan media. Apakah salahnya PAS yang telah pun bertapak lebih 50 tahun dalam negara ini sebagai sebuah pertubuhan politik yang berasaskan agama Islam pada kacamata YB Karpal Singh? Adakah Beliau turut berpendapat bahawa PAS telah mengabaikan aspek perpaduan kaum? Ataupun beliau turut berpendirian bahawa PAS telah meminggirkan keadilan walhal jelas PAS telah melakukan yang terbaik dalam menyemai benih perpaduan dalam kalangan rakyat sebagaimana yang disebutkan oleh Yang Berbahagia Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man ketika mana mengulas komitmen PAS ketika menerajui kerajaan kelantan dan kedah yang termaktub dalam lipatan sejarah.
Selain itu DPP Puchong turut berbesar hati untuk merungkai kekeliruan berkaitan bahayanya parti politik atau pertubuhan yang ditubuhkan berasaskan agama dan kaum sebagaimana yang disebutkan oleh YB Karpal Singh dalam kenyataan tersebut. Bertepatan dengan kebimbangan yang turut diluahkan oleh Ustaz Syarhan Humaizi Halim,Ketua Dewan Pemuda Negeri selangor dalam kenyataan rasmi beliau berkaitan isu ini,kami sangat optimis untuk menyatakan Parti PAS sekali-kali tidak akan mendatangkan bahaya kepada rakyat bahkan akan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada Agama kami dan seterusnya rakyat seluruhnya. Untuk pengetahuan, Islam adalah agama yang mementingkan penerapan Islam dalam setiap perbuatan dalam kehidupan. Sementalahan pula,tidak ada larangan dalam perlembagaan Malaysia yang menghalang setiap individu untuk menganut dan mengamalkan ajaran dalam mana-mana agama dalam negara ini. Justeru, tidak seharusnya ada halangan dari mana-mana pihak untuk membatalkan atau menggubal sesuatu yang kami yakini termasuklah berpolitik secara islam dan atas nama islam itu sendiri.
Akhir sekali, kami turut melahirkan rasa syukur apabila YB Lim Kit Siang telah tampil memberikan kenyataan berhubung isu ini bagi menjernihkan keadaan yang telah mula menjadi keruh. Sebagaimana yang menjadi telahan kami sejak dari awal, ia merupakan sebahagian daripada kerja-kerja jahat media untuk melaga-lagakan PAS dan YB Karpal Singh. Justeru, kami mengsyorkan kepada YB Karpal Singh agar satu tindakan undang-undang diambil ke atas media terbabit kerana telah cuba menyalakan api permusuhan antara PAS dan YB Karpal Singh. Cara sebegini mudah-mudahan dapat memberikan pengajaran kepada mereka supaya lebih beretika ketika mana menyampaikan berita kepada para pembaca. Apatah lagi fitnah yang cuba dijaja oleh media ini boleh menimbulkan permusuhan bukan sahaja antara dua Parti Politik yang dominan dan bersahabat dalam pakatan rakyat, bahkan ia juga bakal mengundang ketegangan antara kaum dalam kalangan rakyat di negara ini.
MOHD ROSHARIZAN MOHD ROZLAN
KETUA DPP PUCHONG
7 November 2013
KENYATAAN RASMI DEWAN PEMUDA PAS PUCHONG
Pasti Masih merupakan Pusat Pendidikan Pra Sekolah Yang Kondusif
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Segala puji Bagi Allah SWT yang memberikan ruang untuk DPP Puchong mencoretkan sesuatu yang penting untuk tatapan kita bersama. Masyarakat di sekitar Puchong telah digemparkan dengan berita rompakan yang melibatkan salah sebuah Pasti di bawah pantauan DPP Puchong. Dalam laporan polis yang dibuat oleh pasti tersebut, pengurus pasti tersebut telah melaporkan bahawa dua orang lelaki yang menaiki motosikal telah bertindak nekad untuk merompak premis pasti tersebut yang sedang beroperasi. Namun usaha itu tidak berjaya dan polis kini sedang giat memburu kedua-dua perompak tersebut yang dipercayai masih bebas.
Untuk makluman, setiap pasti yang beroperasi dalam negara ini telah dibekalkan dengan manual pengurusan pasti yang perlu dipatuhi dan dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan. Amalan pengurusan yang berhemah ini sentiasa dipantau agar kualiti murid pasti yang dihasilkan mencapai tahap yang digariskan oleh Pasti Malaysia. Pasti bukan setakat cemerlang dari sudut kurikulum dan ko-kurikulum,bahkan ianya sentiasa terkehadapan dari sudut persekitaran pembelajaran yang kondusif dan ceria. Ini terbukti dengan penganjuran pertandingan 3K (Kebersihan, keceriaan dan keselamatan) antara pasti-pasti di seluruh Malaysia pada setiap tahun.
DPP Puchong merasa sangat kesal dengan kejadian yang menimpa salah sebuah pasti di puchong pagi semalam. Wakil kami yang pergi melihat ke tempat kejadian telah mendapatkan maklumat secukupnya daripada saksi dan mangsa yang terlibat dan kami serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan. Atas rasa tanggungjawab, kami memohon maaf kepada mangsa yang terlibat termasuk guru dan ibu bapa atas pengabaian aspek keselamatan yang berlaku di luar jangkaan dan pemantauan kami. Kami akan memastikan prosedur keselamatan yang ditetapkan akan dipatuhi bukan sahaja di pasti ini, bahkan seluruh pasti yang terdapat dalam kawasan puchong ini. Kami turut menyeru kepada seluruh jentera pasti di setiap cawangan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dalam menitikberatkan soal keselamatan guru dan murid-murid.
MOHD ASHRUL HISYAM BIN ABDUL JALIL
KETUA PENERANGAN
DPP PUCHONG
8 NOVEMBER 2013






