SKM didakwa campur tangan Isa terajui KPF

KUALA LUMPUR, 5 Dis: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mendakwa terdapat campur tangan serius kerajaan bagi memastikan Tan Sri Isa Samad sah menjadi Pengerusi Koperasi Permodalan Felda (KPF) dan mempengerusikan mesyuarat agung luar biasanya, 5 Januari tahun hadapan.





Presiden Anak, Mazlan Aliman mendakwa usaha itu termasuk menggunakan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) agar Isa Samad dapat mempengaruhi seluruh wakil KPF di seluruh negara supaya bersetuju dengan cadangan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) ke Bursa Saham Malaysia.

"Nampaknya kerajaan bersungguh-sungguh benar dan memperalatkan semua yang terbabit termasuk SKM untuk memastikan Isa Samad bukan sahaja menjadi ahli KPF, tetapi juga menjadi Pengerusi KPF bagi membolehkan usaha membawa FGVH ke Bursa Malaysia menjadi kenyataan," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Mazlan juga berkata, pihaknya mendapat maklumat, SKM sedang giat berusaha agar mesyuarat tersebut dapat dijalankan.

Justeru, Anak sedang berbincang dengan pihak peguam untuk mendapatkan perintah mahkamah agar menghalang mesyuarat itu diadakan.

"Kita menunggu notis memanggil mesyuarat agung ini, kalau notis kita dapat, kita akan bincang dengan peguam agar mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang mesyuarat ini diadakan," katanya yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.

Jelasnya, tindakan itu ingin diambil kerana Anak tidak berpuas hati dengan tindakan SKM menerima semula Isa sebagai ahli KPF sedangkan sebelum ini SKM pernah mengarahkan KPF menarik keahlian Isa kerana didapati tidak layak menjadi ahli KPF.

"Anak dapat maklumat, SKM sebelum ini mengarahkan KPF melucutkan keahlian Isa sebagai ahli KPF bersama tiga lagi yang lain yang ada kaitan dengan Felda iaitu Datuk Sabri Ahmad, Datuk Yusof Nor dan Datuk Bakke Salleh," katanya.

18 Oktober lalu, Gerakan Kebangkitan Peneroka Felda Kebangsaan (Bangkit) membuat aduan kepada SKM mengenai pelantikan Isa Samad sebagai Pengerusi KPF.

Selepas sesi pendengaran yang dilakukan terhadap Isa, difahamkan selepas Isa dan peguamnya bertemu SKM, SKM mengarahkan KPF menerima semula Isa ke dalam KPF.

"Kita lihat dalam isu ini bagaimana permainan licik yang dibuat oleh Isa Samad dan timbul kehairanan bagaimana SKM telah campur tangan dalam apa yang sebelum ini SKM sendiri perintahkan KPF gugurkan Isa Samad dari KPF, tapi keputusannya berpusing 360 darjah," katanya.

Selain itu, menurut Mazlan lagi, status Isa sebagai Pengerusi Felda semakin diragui apabila SKM melalui suratnya tiga hari lepas kepada Pengerusi Bangkit, Abdul Rahman Ramli memberitahu Isa belum disahkan menjadi Pengerusi Felda seperti yang dimaklumkan oleh Timbalan Menetri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.

Sebaliknya dalam surat yang dikeluarkan Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri, menggambarkan Isa telah sah menjadi Pengerusi Felda.

"Kita minta penjelasan mengenai status Isa ini kerana terdapat jawapan yang berbeza, tak tahu yang mana satu betul," katanya.

0 ulasan

Catat Ulasan

Pautan

Blog ini memaparkan segala aktiviti dan usaha-usaha pejuang pemuda Islam PAS kawasan Puchong dalam menegakkan kebenaran.

Archive

Semak Daftar Pengundi

WebTV Pas

Catwidget4

Related Posts with Thumbnails

Slideshow

sideCategory1

Category

Pengikut

Carian Blog Ini