Ucapan Ketua Pemuda Pas Puchong - AGM2012
BENTENGI JAMAAH, RAPATI ANAK MUDA
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi mengasihani, selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad saw.
Firman Allah swt :
Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam” (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha membawa bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telah pun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya. (Al Imran : 118)
Syukur kehadhrat Allah swt dengan limpah kurnianya dapat kita bersama pada hari ini bagi meneruskan gerak kerja Parti Islam yang kita cintai ini. Segarnya apabila kita pada hari ini dapat menghirup udara yang yang Allah berikan pada setiap manusia yang lahir ke dunia tanpa perlu membayar apa-apa nilai dan tiada limitasi penggunaan, maka ucaplah Alhamdulillah.
Alhamdulillah juga kita panjatkan pada sang pencipta apabila pada hari ini kita bersama-sama berada dalam zaman kemenangan di Selangor khususnya memikul amanah dan beban bagi mempastikan kelebaran sayap PAS semakin meluas seantero Selangor hendaknya. Kita berusaha sedaya upaya, belajar secepat mungkin mentadbir Selangor walaupun peranan yang kita mainkan agak kecil berbanding peranan parti rakan tahaluf kita tetapi peluang dan amanah ini adalah anugerah Allah atas usaha-usaha kecil kita berdakwah meyakini rakyat bahawa islam itu syumul setiap zaman.
Pemuda Perintis Kejayaan, Ayuh Teruskan , Bentengi Jamaah, Rapati anak Muda adalah kalimah yang diperkenalkan ketika kita bermuktamar bukanlah sekadar manifestasi bicara manis tutur kata tetapi perlu dihayati senada dan seirama dengan aqidah perjuangan gerakan Islam yang kita dokongi hari ini. Perlu ada terjemahan tindakan dan penerusan, insyaAllah usaha ini perlu diteruskan hingga hujung usia dan berdoa agar kita kukuh bersama menggengam bara kejayaan hakiki dengan mencari redha Allah.
Dewan Pemuda Pas Puchong hari ini berada dalam situasi yang amat mencabar dan memerlukan keazaman, disiplin serta istiqomah yang tinggi dari setiap jenteranya, apabila kita diberi amanah membantu Pas Puchong dalam mendepani pelbagai juzuk gerakkerja dan pentadbiran samada gerak kerja /pentadbiran parti mahu pun gerak kerja/pentadbiran kerajaan negeri. Ini adalah satu penghormatan yang tinggi buat kita semua lebih-lebih lagi apabila wakil Pemuda Pas Puchong diberi amanah sebagai Penyelaras DUN Seri Serdang dan tersenarai sebagai bakal-bakal calon untuk kerusi DUN Seri Serdang.
Sidang mutamirin yang dirahmati Allah sekelian, bukan agenda ghanimah dan gembira yg nk dikedepankan pada hari ini, tatkala ramai dikalangan kita yang meranduk riak-riak menuju Putrajaya yang manis itu berpeluh kenafsuan. Biarkan mereka ..apa yang perlu dikedepankan pada hari ni adalah peringatan tanggung jawab kita sebagai orang muda yang menjadi galang ganti perjuangan yg kita warisi dari baginda saw. Pemimpin silih berganti, bertukar gaya dan perancangan yang dipandu Quran dan Sunnah tetapi matlamatnya tidak berganjak bagi meletakan syariat Allah ke tempat yang paling mulia.
Bentengi jamaah wahai anak muda! Tatkala sirna kejayaan yang semakin menghijabkan kita kelandasan redha Allah swt. Ingat nafsu itu senantiasa hamper dengan cita-cita. Tsunami politik Mac 2008 perlu diterjemahkan sebaik mungkin oleh kita agar saff-saff yang padu dapat terhasil dengan bimbingan tarbiyah dan hidayah Allah swt. Dewan Pemuda PAS Puchong perlu meluncur dengan sulaman taqwa seperti berjalan di dalam yang gelap dengan permukaan tanah yang licin dan berduri. Meluncur dengan garisan taqwa dan berhati-hati dalam tindakan dengan panduan ulamak pewaris nabi. Biarkan mereka yang lain ungkapkan kita ini terkebelakang dalam tindakan, terlembab dalam politicking dan tercorot dalam popularity yang bakal merugikan undi.
Senario terkini amat membimbangkan kita dengan pelbagai evolusi pemikiran yang bercambah diluar sana dan tidak kurang juga anasir ini berjaya menerobos para pendokong PAS. Taadud jamaah,Ummah Centric, Syiah, Islam Liberal dan Sosialis berseronokan membisul bersama kita hari ini. Kelebihan yang kita banggakan sepeti sikap husnozon, tawaduk dan ithar telah dijadikan ‘loop holes’ kelemahan oleh segelintir ahli-ahli yang semakin mendaki singgahsana kepimpinan dengan ‘populariti dan spinning ‘. Matlamat menghalalkan cara menjadi aqidah, berleluasa tidak terkawal di semua peringkat. Mendengarkan sahaja kalimat dibawah ini pasti membuat kita berfikir semula mengapa ia diungkapkan oleh sipengungkap..antaranya ialah :
1. Bisa sahaja Timbalan Presiden PAS dikalangan orang kafir.
2. Sembunyikan matlamat Negara Islam.
3. Suara muslimat yang mendendangkan lagu bukan aurat.
4. Wala adalah candu organisasi.
5. Usrah hanya membuang masa.
6. Ulamak tidak punyai apa-apa pun fungsi dalam perjuangan.
Terlalu kasar jika pada hari ini DPPP melabelkan mereka yang menyertai PAS yang mempunyai agenda tersembunyi, jamaah dalam jamaah dan menduakan wala pimpinan tertinggi sebagai kemunafikan dalam tindakan. Jika penlabelan ini terlalu syadid dan tidak relevan maka kami tangguh dulu penglabelan ini untuk hari ini tetapi mungkin untuk masa depan gelaran ini sah untuk kita gunakan. Walaubagaina pun kami ingin memberi amaran bahawa DPPP tidak akan berdiam diri dan sentiasa memerhati perkembangan tidak sihat ini untuk kita perbetulkan. Pemuda-pemuda cawangan perlu mengambil peduli kebobrokan ini. Kecelaruan fikrah ini perlu kita banteras dengan mempertingkat tarbiyah pada setiap ahli.
Sidang mutamirin yang dirahmati Allah sekelian, kita sebagai orang muda tidak sah kalau tidak berbicara mengenai anak muda. “Orang Muda Geng Kita” menjadi satu ungkapan yang mahsyur apabila diperkenalkan oleh DPPM melalui pimpinan tertingginya Al fadil Ust Nasruddin Hassan, Ketua Pemuda Pas Malaysia satu ketika dulu. Mendekati anak muda ini perlu dengan cara yang bijaksana dan bukan mudah untuk kita jadi geng mereka. Pendekatan ini adalah cabaran dan peluang untuk kita semua menjadi jentera pelaksana di semua peringkat. Program kesukanan, konvoi dan hiburan terkawal menjadi satu medium untuk kita hampir dengan mereka, ayuh kita kejar mereka agar orang muda ini dapat kita bimbing ke jalan yang lebih baik untuk dunia dan akhirat.
Pemuda diperingkat cawangan perlu lebih aktif dalam merapati golongan anak muda setempat. Rapatkan jurang antara kita dan mereka, bina jaringan bijak melalui pelbagai medium terkini seperti facebook dan twiter dan dalam masa yang sama medium biasa seperti perjumpaan dikedai minum, bermain futsal, takraw dan lain-lain lagi perlu dipertingkatkan dari masa ke semasa.
Sifat sebagai sayap biasanya kena bergerak lebih cepat dan bekerja keras dalam memenuhi tuntutan pelbagai gerak kerja dan amanah.
Pertambahan mendadak 20k lebih pengundi di DUN Seri Serdang menjadi satu indicator bahawa pengundi baru yang kebanyakannya anak muda bakal membuat perubahan samada perubahan kearah kemenangan kita atau pun perubahan kearah kekalahan kita. Jangan kita leka lagi dengan gaya yang kurang bermaya yang ditunjukkan oleh otai-otai cawangan kita yg telah melalui zaman emas mereka, pemuda –pemuda cawangan perlu agresif dalam perancangan dan tangkas dalam tindakan. Kita tidak mempunyai masa untuk berehat, perlu rasa diri terkejar-kejar dan perlu kita rasa lelah dalam perjuangan yang panjang ini. Disini bukan tempat bagi pemuda-pemuda yang nak berehat dan bersantai.
Para sahabat seperjuangan sekelian, satu perkara lagi yang perlu saya ingatkan ialah mengenai penyediaan lapisan pimpinan pemuda yang sangat kritikal sekarang ini bagi mendepani pelbagai cabaran dakwah baru, yang medan mad’u tersangat luas. Tanggung jawab ini terletak dibahu kalian bagi membina pelapis pemuda di cawangan dan jika kita leka pasti sahaja akan berhadapan dengan masalah kelopongan pelapis. Dewan Pemuda punyai ‘expired date’ nya, tidak seperti Dewan Muslimat yang bisa sahaja berkhidmat hingga keakhir hayat, percambahan pelapis perlu kita mulakan di peringkat cawangan.
Akhirnya harapan Dewan Pemuda PAS Puchong adalah untuk melihat ahli pemuda bergerak dengan lebih teliti, efisyen dan berdaya saing mengikut tuntutan zaman dengan tidak menggadai prinsip dan aqidah perjuangan yang kita warisi selama ini. Moga Allah memberkati kita semua.
Takbir !!!
0 ulasan