Dewan Pemuda PAS Selangor melahirkan rasa kesal atas tindakan gopoh akhbar The Star menyenaraikan Ustaz Ibrahim Libya sebagai sesat dan ganas.
Di dalam tulisan akhbar hari ini di bawah tajuk "Major cases involving violant deviant groups in Malaysia", akhbar ini secara sengaja dan tidak bertanggungjawab meletakkan nama Ustaz Ibrahim Libya bersama-sama ajaran-ajaran sesat dan ganas yang lain seperti Al-Maunah, Tuhan Harun dan Al-Mahdi.
Ia ternyata satu tindakan berniat jahat untuk mengelirukan masyarakat terhadap PAS kerana tokoh agama Ustaz Ibrahim Libya yang sinonim dengan Tragedi Memali ini adalah sebahagian tragedi yang melibatkan PAS.
DPPNS menafikan sekeras-kerasnya bahawa mereka yang terlibat dalam tragedi ini adalah sesat dan ganas.
Dalam peristiwa 30 tahun lalu ini, Ustaz Ibrahim Libya bersama anak-anak muridnya yang diserang oleh pihak polis dan mereka yang memulakan serangan. Ternyata ia berbeza dengan 3 kes yang dinyatakan oleh akhbar berkenaan.
Secara tidak langsung akhbar ini turut menghina kebarangakata Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang telah mencemar duli menziarahi di pusara Ustaz Ibrahim Libya dan para mangsa tragedi ini. Manakala Allahyarham Tuan Guru Omar Zuhdi, Pondok Lanai, Kedah telah mengeluarkan fatwa bahawa Ustaz Ibrahim Libya dan anak muridnya dikategorikan sebagai syahid.
Selain itu Majlis Fatwa Negeri Kedah tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa peristiwa Memali sebagai memerangi golongan sesat sebaliknya sekadar tidak mengesahkan istilah syahid bagi mereka yang terkorban di situ.
Ia ternyata satu perancangan jahat media untuk memburuk-burukkan PAS.
DPPNS menggesa agar akhbar tersebut memohon maaf kepada ahli keluarga Ustaz Ibrahim Libya dan Pas serta menarik balik tulisan berkenaan. Dalam masa sama DPPNS mendesak agar mana-mana pihak yang cuba untuk menyentuh berhubung isu tersebut hendaklah mendapat penjelasan dari pihak Pas terlebih dahulu agar luka yang telah lama terpendam tidak di bongkar sesuka hati oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, terutamanya kepada pihak editorial The Star agar lebih berhati-hati pada masa hadapan.
Syarhan Humaizi Halim
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
Kenyataan Akhbar Dewan Pemuda PAS Puchong
DPP Puchong menyokong kenyataan KETUA PENERANGAN PAS PUSAT, Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung isu Kenyataan akhbar YB Karpal Singh.
Dalam kenyataan akhbar YB Karpal Singh yang bertarikh 5 Nov 2013 yang disiarkan di dalam sinar harian online, beliau telah menyebutkan bahawa parti politik atau persatuan yang berasaskan kaum dan agama dibatalkan pendaftaran atau diubah suai agar boleh disertai oleh semua rakyat tanpa mengira batasan kaum dan agama. Perkara ini telah dibidas oleh Ketua Penerangan Pas Pusat, Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataannya dalam akhbar yang sama pada keesokan harinya yang mana Yang Berbahagia Dato' telah mengingatkan YB Karpal Singh Supaya tidak berkata mengikut selera semata-mata.
DPP Puchong melihat dari kacamata kelompok bawahan dalam Parti yang mana sentiasa ingin melihat kejernihan hubungan antara Rakan Sekutu dalam Pakatan Rakyat yang sentiasa menjadi perhatian rakyat marhaen, barisan pengamal media dan tidak ketinggalan pihak lawan iaitu Barisan Nasional yang sudah tentunya merasa gembira dengan pandangan terbaru YB Karpal Singh ini.
Dalam pemerhatian kami, YB Karpal Singh telah cuba mengheret isu parti dan pertubuhan berasaskan agama dan kaum ini ke dalam kancah permasalahan berkaitan isu kaliman Allah yang dibangkitkan oleh pertubuhan lain. Sebagai seorang ahli politik yang berpengalaman luas, beliau seharusnya berfikiran lebih matang dan mengambil kira impak-impak lain yang bakal mendatang dalam setiap kenyataan yang dikeluarkan di hadapan media. Apakah salahnya PAS yang telah pun bertapak lebih 50 tahun dalam negara ini sebagai sebuah pertubuhan politik yang berasaskan agama Islam pada kacamata YB Karpal Singh? Adakah Beliau turut berpendapat bahawa PAS telah mengabaikan aspek perpaduan kaum? Ataupun beliau turut berpendirian bahawa PAS telah meminggirkan keadilan walhal jelas PAS telah melakukan yang terbaik dalam menyemai benih perpaduan dalam kalangan rakyat sebagaimana yang disebutkan oleh Yang Berbahagia Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man ketika mana mengulas komitmen PAS ketika menerajui kerajaan kelantan dan kedah yang termaktub dalam lipatan sejarah.
Selain itu DPP Puchong turut berbesar hati untuk merungkai kekeliruan berkaitan bahayanya parti politik atau pertubuhan yang ditubuhkan berasaskan agama dan kaum sebagaimana yang disebutkan oleh YB Karpal Singh dalam kenyataan tersebut. Bertepatan dengan kebimbangan yang turut diluahkan oleh Ustaz Syarhan Humaizi Halim,Ketua Dewan Pemuda Negeri selangor dalam kenyataan rasmi beliau berkaitan isu ini,kami sangat optimis untuk menyatakan Parti PAS sekali-kali tidak akan mendatangkan bahaya kepada rakyat bahkan akan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada Agama kami dan seterusnya rakyat seluruhnya. Untuk pengetahuan, Islam adalah agama yang mementingkan penerapan Islam dalam setiap perbuatan dalam kehidupan. Sementalahan pula,tidak ada larangan dalam perlembagaan Malaysia yang menghalang setiap individu untuk menganut dan mengamalkan ajaran dalam mana-mana agama dalam negara ini. Justeru, tidak seharusnya ada halangan dari mana-mana pihak untuk membatalkan atau menggubal sesuatu yang kami yakini termasuklah berpolitik secara islam dan atas nama islam itu sendiri.
Akhir sekali, kami turut melahirkan rasa syukur apabila YB Lim Kit Siang telah tampil memberikan kenyataan berhubung isu ini bagi menjernihkan keadaan yang telah mula menjadi keruh. Sebagaimana yang menjadi telahan kami sejak dari awal, ia merupakan sebahagian daripada kerja-kerja jahat media untuk melaga-lagakan PAS dan YB Karpal Singh. Justeru, kami mengsyorkan kepada YB Karpal Singh agar satu tindakan undang-undang diambil ke atas media terbabit kerana telah cuba menyalakan api permusuhan antara PAS dan YB Karpal Singh. Cara sebegini mudah-mudahan dapat memberikan pengajaran kepada mereka supaya lebih beretika ketika mana menyampaikan berita kepada para pembaca. Apatah lagi fitnah yang cuba dijaja oleh media ini boleh menimbulkan permusuhan bukan sahaja antara dua Parti Politik yang dominan dan bersahabat dalam pakatan rakyat, bahkan ia juga bakal mengundang ketegangan antara kaum dalam kalangan rakyat di negara ini.
MOHD ROSHARIZAN MOHD ROZLAN
KETUA DPP PUCHONG
7 November 2013
KENYATAAN RASMI DEWAN PEMUDA PAS PUCHONG
Pasti Masih merupakan Pusat Pendidikan Pra Sekolah Yang Kondusif
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Segala puji Bagi Allah SWT yang memberikan ruang untuk DPP Puchong mencoretkan sesuatu yang penting untuk tatapan kita bersama. Masyarakat di sekitar Puchong telah digemparkan dengan berita rompakan yang melibatkan salah sebuah Pasti di bawah pantauan DPP Puchong. Dalam laporan polis yang dibuat oleh pasti tersebut, pengurus pasti tersebut telah melaporkan bahawa dua orang lelaki yang menaiki motosikal telah bertindak nekad untuk merompak premis pasti tersebut yang sedang beroperasi. Namun usaha itu tidak berjaya dan polis kini sedang giat memburu kedua-dua perompak tersebut yang dipercayai masih bebas.
Untuk makluman, setiap pasti yang beroperasi dalam negara ini telah dibekalkan dengan manual pengurusan pasti yang perlu dipatuhi dan dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan. Amalan pengurusan yang berhemah ini sentiasa dipantau agar kualiti murid pasti yang dihasilkan mencapai tahap yang digariskan oleh Pasti Malaysia. Pasti bukan setakat cemerlang dari sudut kurikulum dan ko-kurikulum,bahkan ianya sentiasa terkehadapan dari sudut persekitaran pembelajaran yang kondusif dan ceria. Ini terbukti dengan penganjuran pertandingan 3K (Kebersihan, keceriaan dan keselamatan) antara pasti-pasti di seluruh Malaysia pada setiap tahun.
DPP Puchong merasa sangat kesal dengan kejadian yang menimpa salah sebuah pasti di puchong pagi semalam. Wakil kami yang pergi melihat ke tempat kejadian telah mendapatkan maklumat secukupnya daripada saksi dan mangsa yang terlibat dan kami serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan. Atas rasa tanggungjawab, kami memohon maaf kepada mangsa yang terlibat termasuk guru dan ibu bapa atas pengabaian aspek keselamatan yang berlaku di luar jangkaan dan pemantauan kami. Kami akan memastikan prosedur keselamatan yang ditetapkan akan dipatuhi bukan sahaja di pasti ini, bahkan seluruh pasti yang terdapat dalam kawasan puchong ini. Kami turut menyeru kepada seluruh jentera pasti di setiap cawangan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dalam menitikberatkan soal keselamatan guru dan murid-murid.
MOHD ASHRUL HISYAM BIN ABDUL JALIL
KETUA PENERANGAN
DPP PUCHONG
8 NOVEMBER 2013
Muharram bulan yang dihormati
Firman Allah S.W.T dalam surah At-Taubah ayat 36 yang bermaksud:
“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan,(yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi,di antaranya ada empat bulan yang dihormati,itulah ketetapan agama yang lurus”
Muharram merupakan bulan yang pertama dalam kalendar islam dan ia termasuk dalam salah satu bulan yang dipanggil bulan haram ataupun bulan yang dihormati,seperti mana yang dinyatakan oleh Allah s.w.t dalam maksud ayat quran di atas “diantaranya ada empat bulan haram (yang dihormati)”.
Para ulama tafsir mentafsirkan bahawa empat bulan yang dihormati itu ialah Zulqaidah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Seperti mana yang telah dinyatakan oleh Baginda Rasulullah s.a.w :
“ Satu tahun ada dua belas bulan,diantaranya terdapat empat bulan haram(suci), tiga daripadanya berturutan iaitu Zulqaidah, Zulhijjah, Muharram kemudian bulan Rejab antara jumadi(Jamadil Akhir) dan Sya’ban.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Dinamakan bulan haram(suci atau dihormati) kerana di bulan tersebut diharamkan untuk melakukan peperangan. Al-Qodhi Abu Ya’la Rahimahullah mengatakan: “Dinamakan bulan haram kerana terdapat dua makna. Pertama, pada bulan tersebut diharamkan membuat pembunuhan. Kedua, pada bulan tersebut larangan untuk melakukan perbuatan haram lebih ditekankan daripada bulan lain kerana mulianya bulan tersebut. Demikian pula pada bulan itu sangatlah baik untuk melakukan amalan keaatan.” Ibnu 'Abbas berpendapat, Allah mengkhususkan empat bulan tersebut sebagai bulan haram dan dianggap sebagai bulan suci, melakukan maksiat pada bulan tersebut dosanya akan lebih besar, dan amalan soleh yang dilakukan akan mendapat pahala yang lebih banyak.”
Muharram dan kaitannya dengan Hijrah.
Hari-hari telah berlalu, sedang umur semakin meningkat, inilah yang selalu dibincangkan setiap kali datangnya permulaan tahun baru, dan tidak lama lagi kita akan memasuki tahun 1435 Hijrah.
Hijrah sebenarnya berlaku pada bulan Rabiul Awal, bukan di bulan Muharram, cuma sewaktu saidina Umar Al-Khattab menjadi khalifah beliau bermesyuarat dengan para sahabat bagaimana hendak meletakkan tarikh untuk umat Nabi Muhammad ini, Maka Allah telah mencerahkan(memberi petunjuk) dada Saidina Umar dan hasil dari perbincangan tersebut Saidina Umar bersetuju untuk menjadikan peristiwa Hijrah itu sebagai permulaan tarikh bagi umat Islam, kerana Hijrah itu mempunyai maknanya yang terendiri iaitulah telah tertegaknya sebuah pemerintahan islam di Madinah. Saidina Umar menjelaskan mengapakah beliau memilih Hijrah itu sebagai permulaan tarikh kerana Hijrah itu telah memisahkan antara hak dan batil.
Kemudian timbul pula persoalan hendak dimulakan dengan bulan apa,maka beberapa orang sahabat memberi cadangan, Saidina Usman telah mencadangkan untuk dimulakan dengan bulan Muharram dengan alasan kerana Muharram merupakan bulan yang dihormati, dan antara yang mencadangkan bulan Muharram juga termasuklah Saidina Umar dan Saidina Ali. Antara sebab lain ialah kerana keinginan dan perancangan untuk Nabi Muhammad melakukan hijrah itu bermula sejak bulan Muharram.
MUHARRAM
Al-Imam Abu Hurairah r.a telah mendengar Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud:
“ Puasa yang paling Afdhal selepas(selain) puasa di bulan Ramadan iaitu pada bulan Allah Muharram”
Hadis di atas menyatakan Muharram itu disandarkan kepada Allah(bulan Allah) untuk menerangkan kepada kita bulan Muharram itu ialah bulan Allah sebagai mana masjid (baitullah),tujuannya supaya kita banyak melakukan ibadah di bulan ini terutama ibadah puasa.
Di dalam bulan Muharram ini juga terdapat satu hari kebesaran bagi umat islam iaitu hari ‘asyura iaitu pada 10 muharram, dan disunatkan kepada umat islam untuk berpuasa pada hari tersebut.
Diceritakan oleh Ibnu ‘Abbas, ketika Nabi Muhammad s.a.w sampai ke madinah,nabi mendapati orang-orang yahudi di madinah berpuasa pada hari ‘Asyura,nabi bertanya kepada orang yahudi,mengapa kamu puasa pada hari ini? Orang yahudi menjawab: Ini hari yang besar,hari yang mana Allah telah menyelamatkan Nabi Musa dan kaumnya daripada kepungan firaun(sebagaimana yang diceritakan dalam Surah Ash-Shu’ara), apabila nabi mendengar jawapan daripada orang yahudi itu, Nabi berkata : Kami orang islam lebih berhak mensyukuri nikmat Nabi Musa selamat daripada kamu orang-orang yahudi maka Nabi perintahkan kepada semua orang Islam untuk berpuasa pada hari tersebut.
Inilah antara sunnah para anbiya’ terdahulu apabila bersyukur dengan sesuatu daripada pemberian Allah,mereka akan berpuasa. Nabi Musa selepas selamat daripada kepungan firaun,beliau berpuasa sebagai tanda syukur atas nikmat yang diberikan. Nabi Muhammad apabila ditanya mengapa Baginda berpuasa pada hari isnin? Baginda menjawab aku bersyukur kerana pada hari itu aku dilahirkan.
Hijrah
Awal Muharram ataupun disebut juga sebagai Maal Hijrah mengingatkan kita kepada satu peristiwa besar bagi umat Islam tentang penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat daripada Makkah Al-Mukarramah ke Madinah Al-Munawwarah. Namun apa penting daripada peristiwa agong ini ialah bukan setakat kita peringatinya atau mengadakan sambutan, perarakan dan makan-makan sahaja tetapi apa yang perlu ialah sejauh mana kita mempraktikkan dan mengaplikasikan nilai-nilai yang terdapat dalam peristiwa hijrah tersebut dalam kehidupan seharian kita.
Hijrah bermaksud meninggalkan sesuatu perbuatan ataupun berpindah dari suatu tempat ke tempat yang lain. Selepas tiga belas tahun Nabi Muhammad berdakwah di Makkah dengan pelbagai tekanan dan siksaan, maka Allah telah perintahkan kepada Nabi Muhammad untuk berhijrah ke Madinah, yang mana penghijrahan itulah yang telah menjadi kunci kepada kemenangan Islam dan telah tertegaknya sebuah Negara Islam di Madinah. Umat Islam di zaman Rasulullah sanggup berkorban dan berhijrah meninggalkan ahli keluarga, harta benda, binatang ternakan dan sebagainya demi untuk melaksanakan satu misi yang diperintahkan oleh Allah dan Rasulnya. Inilah hijrah yang berlaku di zaman Rasulullah.
Adapun dalam konteks kita pada hari ini, Hijrah yang paling besar ialah meninggalkan perbuatan yang dilarang oleh Allah dan kembali melakukan segala suruhan Allah Taala. Seperti mana yang telah dinyatakan oleh Baginda Nabi s.a.w: “Jihad yang paling besar adalah jihad melawan hawa nafsu”. Di dalam Hadis lain pula nabi bersabda: “Orang-orang yang berhijrah itu ialah orang yang meninggalkan segala apa yang Allah telah larang dari melakukannya”.
Sesungguhnya peristiwa Hijrah Rasulullah dan para sahabat ini merupakan titik permulaan yang menyebabkan tersebarnya Islam di seluruh pelusuk dunia. Maka menjadi kemestian kepada kita Umat Nabi Muhammad ini untuk menjadikan peristiwa Hijrah sebagai pengajaran kepada kita dengan cara melakukan perubahan dalam diri kita, meninggalkan segala sifat jahiliyyah yang ada dalam diri dan menanamkan benih-benih ketaqwaan dan keimanan dalam hati sanubari.
Marilah sama-sama kita bertekad dan berazam mudah-mudahan pada Maal Hijrah 1435 ini menjadikan diri kita seorang hamba yang benar-benar bertaqwa kepada Allah s.w.t. Menyucikan diri dari dosa,berazam untuk meninggalkan dosa dan seterusnya memelihara diri daripada melakukan maksiat.
UNIT PENERANGAN
LAJNAH PENERANGAN, DAKWAH & MEDIA BARU
DEWAN PEMUDA PAS PUCHONG