Pasti Masih merupakan Pusat Pendidikan Pra Sekolah Yang Kondusif
KENYATAAN RASMI DEWAN PEMUDA PAS PUCHONG
Pasti Masih merupakan Pusat Pendidikan Pra Sekolah Yang Kondusif
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Segala puji Bagi Allah SWT yang memberikan ruang untuk DPP Puchong mencoretkan sesuatu yang penting untuk tatapan kita bersama. Masyarakat di sekitar Puchong telah digemparkan dengan berita rompakan yang melibatkan salah sebuah Pasti di bawah pantauan DPP Puchong. Dalam laporan polis yang dibuat oleh pasti tersebut, pengurus pasti tersebut telah melaporkan bahawa dua orang lelaki yang menaiki motosikal telah bertindak nekad untuk merompak premis pasti tersebut yang sedang beroperasi. Namun usaha itu tidak berjaya dan polis kini sedang giat memburu kedua-dua perompak tersebut yang dipercayai masih bebas.
Untuk makluman, setiap pasti yang beroperasi dalam negara ini telah dibekalkan dengan manual pengurusan pasti yang perlu dipatuhi dan dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan. Amalan pengurusan yang berhemah ini sentiasa dipantau agar kualiti murid pasti yang dihasilkan mencapai tahap yang digariskan oleh Pasti Malaysia. Pasti bukan setakat cemerlang dari sudut kurikulum dan ko-kurikulum,bahkan ianya sentiasa terkehadapan dari sudut persekitaran pembelajaran yang kondusif dan ceria. Ini terbukti dengan penganjuran pertandingan 3K (Kebersihan, keceriaan dan keselamatan) antara pasti-pasti di seluruh Malaysia pada setiap tahun.
DPP Puchong merasa sangat kesal dengan kejadian yang menimpa salah sebuah pasti di puchong pagi semalam. Wakil kami yang pergi melihat ke tempat kejadian telah mendapatkan maklumat secukupnya daripada saksi dan mangsa yang terlibat dan kami serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan. Atas rasa tanggungjawab, kami memohon maaf kepada mangsa yang terlibat termasuk guru dan ibu bapa atas pengabaian aspek keselamatan yang berlaku di luar jangkaan dan pemantauan kami. Kami akan memastikan prosedur keselamatan yang ditetapkan akan dipatuhi bukan sahaja di pasti ini, bahkan seluruh pasti yang terdapat dalam kawasan puchong ini. Kami turut menyeru kepada seluruh jentera pasti di setiap cawangan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dalam menitikberatkan soal keselamatan guru dan murid-murid.
MOHD ASHRUL HISYAM BIN ABDUL JALIL
KETUA PENERANGAN
DPP PUCHONG
8 NOVEMBER 2013
0 ulasan