
BANDAR KINRARA , 18 APR 09 – Pesta Sukan Tahunan PASTI Kawasan Puchong kembali lagi. Kelainan pada tahun ini adalah acara yang dipertandingkan hanya ditumpukan khusus untuk Bola Sepak (lelaki) dan Bola Jaring (perempuan).
Bertempat di Padang Awam MPSJ Bandar Kinrara 4 (berhadapan dengan PASTI Ar Raihan), acara dimulakan tepat jam 9 pagi. Acara dilangsungkan serentak bagi kedua-dua acara menggunakan dua padang khas bagi setiap acara. Kelihatan juga lebih daripada 10 buah gerai menjual makanan, minuman dan bebeberapa barang lain dibuka di tapak gerai yang disediakan untuk memeriahkan lagi keadaan.
Pesta Sukan Tahunan PASTI Kawasan ‘Kinrara 2009’ kali ini disertai oleh 9 buah pasukan bola sepak dan bola jaring dari 9 buah PASTI di Kawasan Puchong ; Ar Raihan (Bandar Kinrara) , Al Firdaus (Puncak Jalil) , Bestari (Pusat Bandar Puchong), As Syifa’ (Puchong Utama) , An Nur (Puchong Intan) , Al Mawardi (Aman Bestari) , Al Iqbal (Kampung Seri Aman) , Pinggiran Putra (Taman Pinggiran Putra) dan Ainul Mardiah (Taman Sri Serdang).
Penganjuran sukan ini juga bukan sahaja untuk memenuhi silibus ko-kokurikulum takwim tahunan PASTI Kawasan dan setiap cawangan, malah ia juga dianjurkan untuk mencungkil bakat pemain terbaik bola sepak dan bola jaring di peringkat kawasan untuk dihantar menyertai pertandingan sukan tersebut di peringkat Negeri Selangor seterusnya ke peringkat Pusat.
Pada hari tersebut, acara perasmian penutup telah disempurnakan oleh Saudara Rosharizan , Ketua Pemuda PAS Kawasan Puchong. Antara tetamu VIP yang turut hadir memeriahkan program tersebut adalah Yang di-Pertua PAS Kawasan Puchong, Ust Nasir Yusoff dan Pengurus-Pengurus PASTI Cawangan yang menyertai program pada hari tersebut.
Perasmi juga kemudian telah menyempurnakan acara penyampaian hadiah untuk setiap acara. Hadiah khas Piala Pusingan Ketua Pemuda Kawasan Puchong untuk acara Bola Sepak dan Bola Jaring serta trofi penjaring terbanyak untuk kedua-dua acara turut disampaikan kepada pemenang.Keputusan akhir diketahui lebih kurang jam 1 petang di mana acara Bola Sepak telah dijuarai oleh PASTI An Nur (Puchong Intan) manakala untuk bola jaring telah diungguli oleh PASTI Ainul Mardhiah (Tmn Seri Serdang).
Secara keseluruhannya, program pada hari tersebut telah berjalan dengan jayanya. Tahniah diucapkan kepada seluruh jawatankuasa yang terlibat dari segi pengurusan dan teknikal. Semoga segala usaha untuk menyediakan Tunas Islam Harapan Ummah kekal segar ‘aqliah dan jasadiyyah.
Gambar-gambar lain disekitar 'Karnival' Kinrara 2009




0 ulasan