»
Perutusan EidulFitri Dewan Pemuda Pas Puchong
Perutusan EidulFitri Dewan Pemuda Pas Puchong
Assalamu'alaikum
Apabila setiap kali Syawal menjelang tiba, kedengaran laungan Takbir Membesarkan Allah Rabbul Izzati, menandakan berakhirnya Madrasah Ramadhan yang ditempuh selari dengan syariat Allah SWT. Sebulan berpuasa, mengisi siang dan malam dengan amalan yang lebih daripada bulan-bulan biasa, menjadikan kita rindu untuk bertemu dengan Ramadhan yang akan datang. Berdoalah kita semoga setiap amalan kita di bulan Ramadhan diterima dan ucapkanlah kalimah ‘Taqabbalullahu minna waminka’ (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu) setiap kali bertemu dengan sahabat handai dan teman-teman seperjuangan di Hari Lebaran.
Setiap kali datangnya Syawal, setiap penjuru Masjid dan surau tidak ketinggalan di rumah-rumah akan bergema Laungan Takbir bermula sedari masuknya waktu maghrib 1 Syawal sehinggalah di kala Khatib membaca khutbah seusai solat sunat 'Idulfitri dikerjakan. Bertakbir lah kita membesarkan Keagungan Allah SWT, sebagaimana yang disyariatkan oleh Allah SWT dalam firmannya yang bermaksud:
"Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur." – Surah al-Baqarah : 185
Mudah-mudahan kita akan menjadi hambaNYA yang sentiasa bersyukur.
Akhir kata, bagi pihak Ahli-ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Puchong, kami memohon jutaan kemaafan atas segala salah dan silap sama ada yang disengajakan mahupun yang tidak disengajakan, terutamanya kepada barisan kepimpinan PAS Puchong di semua peringkat, baik kawasan, ulama' pemuda dan muslimat. Tidak ketinggalan juga kepada seluruh ahli PAS Puchong, parti-parti komponen Pakatan Rakyat, penyokong-penyokong Pas dan teman-teman blogger. Teruskanlah memberi sokongan dan dorongan serta tunjuk ajar bagi kami menjalankan amanah dakwah ini.
Turut tidak ketinggalan kepada teman-teman sekeliling yang sering memberi kritikan positif atau negatif kepada Dewan Pemuda Pas Puchong, samada secara langsung atau tidak langsung. Pastinya setiap teguran dan kritikan itu akan memberi suntikan untuk kami terus menjalankan tanggungjawab dan amanah dakwah yang dipikul ini degan lebih semangat.
Mudah-mudahan ianya akan mendekatkan kita semua kepada Allah swt dengan nilai Taqwa yang tertinggi.
Selamat Hari Raya 'Idulfitri, maaf zahir dan batin dan berhati-hatilah dalam perjalanan pulang ke kampung...Taqabbalullahu minna waminkum'
Labels:
0 ulasan