Tanggal 12/12/13 ialah tarikh yang pasti akan diingati oleh gerakan Islam seluruh dunia yang mana pada tarikh ini dunia menjadi saksi telah syahidnya seorang mujahid iaitu Sheikh Abdul Quader Molla, Penolong Setiausaha Agung Jamaat-e-Islami Bangladesh ditali gantung. Hanya kerana menuntut keadilan dan mempertahankan kebenaran. Beliau dituduh terlibat dalam jenayah bersubahat dengan tentera Pakistan membunuh 344 orang awam dan beberapa tuduhan jenayah lain semasa perang pembebasan Bangladesh 1971.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Ahzab ayat 23 yang bermaksud:
من المؤمنين رجال صدقوا ما عاهدوا الله عليه ۖ فمنهم من قضى نحبه ومنهم من ينتظر ۖ وما بدلوا تبديلا
“ Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela agama Islam) maka diantara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya (lalu gugur syahid), dan diantaranya ada yang menunggu giliran dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) walau sedikitpun.”
Sheikh Abdul Quader Molla lahir pada Ogos 1948,merupakan ahli Jamaat-e-Islami (Parti Politik Islam Terbesar di Bangladesh). Terlibat dengan gerakan islam semenjak di usia remaja lagi, menyertai persatuan pelajar di Rajendra College yang dikenali sebagai ‘Islami Chatra Sangha’ dan dilantik sebagai presiden organisasi itu. Pada 5 Februari 2013 Mahkamah Agung Bangladesh telah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada beliau, walaubagaimanapun di atas desakan dari kumpulan sekular yang bencikan islam pada 17 September 2013 Mahkamah Agung Bangladesh telah menukar hukuman penjara seumur hidup kepada hukuman gantung. Dan pada tarikh 12 Disember 2013 kembalilah rohnya yang mulia bertemu dengan Sang Pencipta Yang Maha Mulia.
Beberapa hari sebelum beliau syahid di tali gantung, beliau berkata, “Jika aku syahid maka itulah kejayaan yang terbesar dalam hidupku. Setiap titisan darahku akan mempercepatkan kemajuan gerakan Islam dan akan menyebabkan kemusnahan penindas . Aku tidak bimbang tentang diriku, akan tetapi aku mengambil berat tentang masa depan negara dan gerakan Islam. Kematianku tidak akan berlaku menurut keputusan mana-mana pihak. Masa dan cara kematianku akan berlaku hanya mengikut keputusan Allah. Jadi, aku akan menerima keputusan dari Allah ini dengan senang hati.”
Begitulah kata-kata yang lahir dari hati suci seorang mujahid yang taqarrub kepada Allah SWT, bila mana hati benar-benar ikhlas kepada Allah SWT, tiada apa lagi yang boleh menghalang walaupun kematian berada di depan mata, merelakan diri menjadi sasaran, biarkan terpaksa menangung derita,hanya redho Ilahi dan mati syahid yang beliau dambakan. Allah SWT berfirman dalam surah Ali Imran,ayat 169,
ولا تحسبن الذين قتلوا في سبيل الله أمواتا ۚ بل أحياء عند ربهم يرزقون
"Dan jangan sesekali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh(syahid) pada jalan Allah itu mati.(Mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup(secara istimewa di sisi Allah dengan mendapat rezeki.”
Sesungguhnya pemergian beliau bukanlah bermakna perjuangan ini telah terkubur, akan tetapi ia menjadi sumber kekuatan kepada ribuan mujahid yang lain untuk meneruskan pejuangan yang mulia ini. Bahkan dengan syahidnya Sheikh Abdul Quader akan menyuburkan lagi semangat jihad ini. Beginilah seorang mukmin melihat kehidupan dan kematian ‘hidup mulia atau mati sebagi syuhada’. Kesilapan besar buat golongan sekular kerana gagal memahami bahawa nilai seorang mujahid itu amat tinggi selepas kesyahidannya. Firman Allah SWT dalam Surah As-Saff ayat 10 dan 11
يا أيها الذين آمنوا هل أدلكم على تجارة تنجيكم من عذاب أليم تؤمنون بالله ورسوله وتجاهدون في سبيل الله بأموالكم وأنفسكم ۚ ذلكم خير لكم إن كنتم تعلمون
"Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih? (yaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.
Dalam ayat di atas Allah SWT melamar kepada orang mukmin satu perniagaan yang tidak akan rugi malah mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda di dunia mahupun di akhirat, iaitulah beriman kepada Allah SWT dan berjihad di jalanNya. Benar bahawa perjuangan Islam ini bukan suatu yang mudah, menuntut kita mengorbankan segalanya sehinggakan nyawa sendiri.Namun itulah nilai yang sepatutnya dibayar demi sebuah kemenangan. Walau apa pun yang berlaku, Yakinlah kita bahawa kemenangan itu pasti datang. Orang-orang kafir hanya kelihatan kuat pada zahirnya, pada hakikatnya mereka lemah, sedangkan kita ada Allah yang memiliki kemenangan tersebut. Sesungguhnya dunia ini bukan untuk kita, tetapi untuk mereka yang tidak inginkan syurga di akhirat kelak. Semoga Allah menjadikan kita dalam kalangan orang-orang yang syahid di jalanNya. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.
UNIT PENERANGAN DAN DAKWAH
LAJNAH PENERANGAN
DEWAN PEMUDA PAS PUCHONG
Dewan Pemuda PAS Puchong melahirkan rasa sukcita di atas perlantikan YB Iskandar Abdul Samad ke jawatan utama PAS Negeri Selangor itu sebaik sahaja mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat memutuskan perkara tersebut. DPP Puchong merasakan perlantikan tersebut sangat tepat dengan perkembangan politik di negeri Selangor yang kini masih diterajui oleh Pakatan Rakyat.
Ucapan Tahniah ini merupakan penghargaan yang tidak terhingga DPP Puchong zahirkan bagi melihat PAS negeri Selangor akan terus menjana kecemerlangan bukan sahaja dari aspek pengorganisasian dalam pentadbiran kerajaan negeri, bahkan lebih daripada itu termasuklah pembentukan jati diri atau tarbiyah Ahli PAS yang lebih mantap dan juga pengimejan PAS sebagai sebuah Parti Islam yang boleh diharapkan untuk menjaga kepentingan Agama Islam dalam negeri Selangor ini serta sebuah parti yang tidak mengabaikan mana-mana golongan termasuklah anak muda atau remaja yang semestinya menjadi perhatian kami selaku pemimpin dalam kalangan anak muda.
DPP Puchong turut berbesar hati untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Bekas Pesuruhjaya Selangor pada sesi yang lalu atas perkhidmatan yang cemerlang terutamanya dalam membantu PAS memperoleh kemenangan yang lebih besar dalam PRU 13 yang lalu. Jasa dan keprihatinan YB Dr. Rani sebelum ini hanya Allah Sahaja yang boleh membalasnya. Kesepaduan dan kerjasama yang erat antara PJ lama dan baru pasti akan dapat memacu PAS Selangor ke arah yang lebih baik untuk masa-masa yang mendatang.
Akhir sekali, kami mendoakan agar YB Pesuruhjaya yang baru akan terus diberi kekuatan Oleh Allah SWT untuk memimpin seluruh Ahli PAS di negeri Selangor ini ke arah yang lebih baik. Mudah-mudahan kita semua diberikan kekuatan untuk terus berjuang selagi hayat di kandung badan
MOHD ROSHARIZAN MOHD ROZLAN
KETUA DEWAN PEMUDA PAS PUCHONG
Dewan Pemuda PAS Selangor melahirkan rasa kesal atas tindakan gopoh akhbar The Star menyenaraikan Ustaz Ibrahim Libya sebagai sesat dan ganas.
Di dalam tulisan akhbar hari ini di bawah tajuk "Major cases involving violant deviant groups in Malaysia", akhbar ini secara sengaja dan tidak bertanggungjawab meletakkan nama Ustaz Ibrahim Libya bersama-sama ajaran-ajaran sesat dan ganas yang lain seperti Al-Maunah, Tuhan Harun dan Al-Mahdi.
Ia ternyata satu tindakan berniat jahat untuk mengelirukan masyarakat terhadap PAS kerana tokoh agama Ustaz Ibrahim Libya yang sinonim dengan Tragedi Memali ini adalah sebahagian tragedi yang melibatkan PAS.
DPPNS menafikan sekeras-kerasnya bahawa mereka yang terlibat dalam tragedi ini adalah sesat dan ganas.
Dalam peristiwa 30 tahun lalu ini, Ustaz Ibrahim Libya bersama anak-anak muridnya yang diserang oleh pihak polis dan mereka yang memulakan serangan. Ternyata ia berbeza dengan 3 kes yang dinyatakan oleh akhbar berkenaan.
Secara tidak langsung akhbar ini turut menghina kebarangakata Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang telah mencemar duli menziarahi di pusara Ustaz Ibrahim Libya dan para mangsa tragedi ini. Manakala Allahyarham Tuan Guru Omar Zuhdi, Pondok Lanai, Kedah telah mengeluarkan fatwa bahawa Ustaz Ibrahim Libya dan anak muridnya dikategorikan sebagai syahid.
Selain itu Majlis Fatwa Negeri Kedah tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa peristiwa Memali sebagai memerangi golongan sesat sebaliknya sekadar tidak mengesahkan istilah syahid bagi mereka yang terkorban di situ.
Ia ternyata satu perancangan jahat media untuk memburuk-burukkan PAS.
DPPNS menggesa agar akhbar tersebut memohon maaf kepada ahli keluarga Ustaz Ibrahim Libya dan Pas serta menarik balik tulisan berkenaan. Dalam masa sama DPPNS mendesak agar mana-mana pihak yang cuba untuk menyentuh berhubung isu tersebut hendaklah mendapat penjelasan dari pihak Pas terlebih dahulu agar luka yang telah lama terpendam tidak di bongkar sesuka hati oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, terutamanya kepada pihak editorial The Star agar lebih berhati-hati pada masa hadapan.
Syarhan Humaizi Halim
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
Kenyataan Akhbar Dewan Pemuda PAS Puchong
DPP Puchong menyokong kenyataan KETUA PENERANGAN PAS PUSAT, Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung isu Kenyataan akhbar YB Karpal Singh.
Dalam kenyataan akhbar YB Karpal Singh yang bertarikh 5 Nov 2013 yang disiarkan di dalam sinar harian online, beliau telah menyebutkan bahawa parti politik atau persatuan yang berasaskan kaum dan agama dibatalkan pendaftaran atau diubah suai agar boleh disertai oleh semua rakyat tanpa mengira batasan kaum dan agama. Perkara ini telah dibidas oleh Ketua Penerangan Pas Pusat, Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataannya dalam akhbar yang sama pada keesokan harinya yang mana Yang Berbahagia Dato' telah mengingatkan YB Karpal Singh Supaya tidak berkata mengikut selera semata-mata.
DPP Puchong melihat dari kacamata kelompok bawahan dalam Parti yang mana sentiasa ingin melihat kejernihan hubungan antara Rakan Sekutu dalam Pakatan Rakyat yang sentiasa menjadi perhatian rakyat marhaen, barisan pengamal media dan tidak ketinggalan pihak lawan iaitu Barisan Nasional yang sudah tentunya merasa gembira dengan pandangan terbaru YB Karpal Singh ini.
Dalam pemerhatian kami, YB Karpal Singh telah cuba mengheret isu parti dan pertubuhan berasaskan agama dan kaum ini ke dalam kancah permasalahan berkaitan isu kaliman Allah yang dibangkitkan oleh pertubuhan lain. Sebagai seorang ahli politik yang berpengalaman luas, beliau seharusnya berfikiran lebih matang dan mengambil kira impak-impak lain yang bakal mendatang dalam setiap kenyataan yang dikeluarkan di hadapan media. Apakah salahnya PAS yang telah pun bertapak lebih 50 tahun dalam negara ini sebagai sebuah pertubuhan politik yang berasaskan agama Islam pada kacamata YB Karpal Singh? Adakah Beliau turut berpendapat bahawa PAS telah mengabaikan aspek perpaduan kaum? Ataupun beliau turut berpendirian bahawa PAS telah meminggirkan keadilan walhal jelas PAS telah melakukan yang terbaik dalam menyemai benih perpaduan dalam kalangan rakyat sebagaimana yang disebutkan oleh Yang Berbahagia Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man ketika mana mengulas komitmen PAS ketika menerajui kerajaan kelantan dan kedah yang termaktub dalam lipatan sejarah.
Selain itu DPP Puchong turut berbesar hati untuk merungkai kekeliruan berkaitan bahayanya parti politik atau pertubuhan yang ditubuhkan berasaskan agama dan kaum sebagaimana yang disebutkan oleh YB Karpal Singh dalam kenyataan tersebut. Bertepatan dengan kebimbangan yang turut diluahkan oleh Ustaz Syarhan Humaizi Halim,Ketua Dewan Pemuda Negeri selangor dalam kenyataan rasmi beliau berkaitan isu ini,kami sangat optimis untuk menyatakan Parti PAS sekali-kali tidak akan mendatangkan bahaya kepada rakyat bahkan akan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada Agama kami dan seterusnya rakyat seluruhnya. Untuk pengetahuan, Islam adalah agama yang mementingkan penerapan Islam dalam setiap perbuatan dalam kehidupan. Sementalahan pula,tidak ada larangan dalam perlembagaan Malaysia yang menghalang setiap individu untuk menganut dan mengamalkan ajaran dalam mana-mana agama dalam negara ini. Justeru, tidak seharusnya ada halangan dari mana-mana pihak untuk membatalkan atau menggubal sesuatu yang kami yakini termasuklah berpolitik secara islam dan atas nama islam itu sendiri.
Akhir sekali, kami turut melahirkan rasa syukur apabila YB Lim Kit Siang telah tampil memberikan kenyataan berhubung isu ini bagi menjernihkan keadaan yang telah mula menjadi keruh. Sebagaimana yang menjadi telahan kami sejak dari awal, ia merupakan sebahagian daripada kerja-kerja jahat media untuk melaga-lagakan PAS dan YB Karpal Singh. Justeru, kami mengsyorkan kepada YB Karpal Singh agar satu tindakan undang-undang diambil ke atas media terbabit kerana telah cuba menyalakan api permusuhan antara PAS dan YB Karpal Singh. Cara sebegini mudah-mudahan dapat memberikan pengajaran kepada mereka supaya lebih beretika ketika mana menyampaikan berita kepada para pembaca. Apatah lagi fitnah yang cuba dijaja oleh media ini boleh menimbulkan permusuhan bukan sahaja antara dua Parti Politik yang dominan dan bersahabat dalam pakatan rakyat, bahkan ia juga bakal mengundang ketegangan antara kaum dalam kalangan rakyat di negara ini.
MOHD ROSHARIZAN MOHD ROZLAN
KETUA DPP PUCHONG
7 November 2013
KENYATAAN RASMI DEWAN PEMUDA PAS PUCHONG
Pasti Masih merupakan Pusat Pendidikan Pra Sekolah Yang Kondusif
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Segala puji Bagi Allah SWT yang memberikan ruang untuk DPP Puchong mencoretkan sesuatu yang penting untuk tatapan kita bersama. Masyarakat di sekitar Puchong telah digemparkan dengan berita rompakan yang melibatkan salah sebuah Pasti di bawah pantauan DPP Puchong. Dalam laporan polis yang dibuat oleh pasti tersebut, pengurus pasti tersebut telah melaporkan bahawa dua orang lelaki yang menaiki motosikal telah bertindak nekad untuk merompak premis pasti tersebut yang sedang beroperasi. Namun usaha itu tidak berjaya dan polis kini sedang giat memburu kedua-dua perompak tersebut yang dipercayai masih bebas.
Untuk makluman, setiap pasti yang beroperasi dalam negara ini telah dibekalkan dengan manual pengurusan pasti yang perlu dipatuhi dan dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan. Amalan pengurusan yang berhemah ini sentiasa dipantau agar kualiti murid pasti yang dihasilkan mencapai tahap yang digariskan oleh Pasti Malaysia. Pasti bukan setakat cemerlang dari sudut kurikulum dan ko-kurikulum,bahkan ianya sentiasa terkehadapan dari sudut persekitaran pembelajaran yang kondusif dan ceria. Ini terbukti dengan penganjuran pertandingan 3K (Kebersihan, keceriaan dan keselamatan) antara pasti-pasti di seluruh Malaysia pada setiap tahun.
DPP Puchong merasa sangat kesal dengan kejadian yang menimpa salah sebuah pasti di puchong pagi semalam. Wakil kami yang pergi melihat ke tempat kejadian telah mendapatkan maklumat secukupnya daripada saksi dan mangsa yang terlibat dan kami serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan. Atas rasa tanggungjawab, kami memohon maaf kepada mangsa yang terlibat termasuk guru dan ibu bapa atas pengabaian aspek keselamatan yang berlaku di luar jangkaan dan pemantauan kami. Kami akan memastikan prosedur keselamatan yang ditetapkan akan dipatuhi bukan sahaja di pasti ini, bahkan seluruh pasti yang terdapat dalam kawasan puchong ini. Kami turut menyeru kepada seluruh jentera pasti di setiap cawangan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dalam menitikberatkan soal keselamatan guru dan murid-murid.
MOHD ASHRUL HISYAM BIN ABDUL JALIL
KETUA PENERANGAN
DPP PUCHONG
8 NOVEMBER 2013
Muharram bulan yang dihormati
Firman Allah S.W.T dalam surah At-Taubah ayat 36 yang bermaksud:
“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan,(yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi,di antaranya ada empat bulan yang dihormati,itulah ketetapan agama yang lurus”
Muharram merupakan bulan yang pertama dalam kalendar islam dan ia termasuk dalam salah satu bulan yang dipanggil bulan haram ataupun bulan yang dihormati,seperti mana yang dinyatakan oleh Allah s.w.t dalam maksud ayat quran di atas “diantaranya ada empat bulan haram (yang dihormati)”.
Para ulama tafsir mentafsirkan bahawa empat bulan yang dihormati itu ialah Zulqaidah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Seperti mana yang telah dinyatakan oleh Baginda Rasulullah s.a.w :
“ Satu tahun ada dua belas bulan,diantaranya terdapat empat bulan haram(suci), tiga daripadanya berturutan iaitu Zulqaidah, Zulhijjah, Muharram kemudian bulan Rejab antara jumadi(Jamadil Akhir) dan Sya’ban.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Dinamakan bulan haram(suci atau dihormati) kerana di bulan tersebut diharamkan untuk melakukan peperangan. Al-Qodhi Abu Ya’la Rahimahullah mengatakan: “Dinamakan bulan haram kerana terdapat dua makna. Pertama, pada bulan tersebut diharamkan membuat pembunuhan. Kedua, pada bulan tersebut larangan untuk melakukan perbuatan haram lebih ditekankan daripada bulan lain kerana mulianya bulan tersebut. Demikian pula pada bulan itu sangatlah baik untuk melakukan amalan keaatan.” Ibnu 'Abbas berpendapat, Allah mengkhususkan empat bulan tersebut sebagai bulan haram dan dianggap sebagai bulan suci, melakukan maksiat pada bulan tersebut dosanya akan lebih besar, dan amalan soleh yang dilakukan akan mendapat pahala yang lebih banyak.”
Muharram dan kaitannya dengan Hijrah.
Hari-hari telah berlalu, sedang umur semakin meningkat, inilah yang selalu dibincangkan setiap kali datangnya permulaan tahun baru, dan tidak lama lagi kita akan memasuki tahun 1435 Hijrah.
Hijrah sebenarnya berlaku pada bulan Rabiul Awal, bukan di bulan Muharram, cuma sewaktu saidina Umar Al-Khattab menjadi khalifah beliau bermesyuarat dengan para sahabat bagaimana hendak meletakkan tarikh untuk umat Nabi Muhammad ini, Maka Allah telah mencerahkan(memberi petunjuk) dada Saidina Umar dan hasil dari perbincangan tersebut Saidina Umar bersetuju untuk menjadikan peristiwa Hijrah itu sebagai permulaan tarikh bagi umat Islam, kerana Hijrah itu mempunyai maknanya yang terendiri iaitulah telah tertegaknya sebuah pemerintahan islam di Madinah. Saidina Umar menjelaskan mengapakah beliau memilih Hijrah itu sebagai permulaan tarikh kerana Hijrah itu telah memisahkan antara hak dan batil.
Kemudian timbul pula persoalan hendak dimulakan dengan bulan apa,maka beberapa orang sahabat memberi cadangan, Saidina Usman telah mencadangkan untuk dimulakan dengan bulan Muharram dengan alasan kerana Muharram merupakan bulan yang dihormati, dan antara yang mencadangkan bulan Muharram juga termasuklah Saidina Umar dan Saidina Ali. Antara sebab lain ialah kerana keinginan dan perancangan untuk Nabi Muhammad melakukan hijrah itu bermula sejak bulan Muharram.
MUHARRAM
Al-Imam Abu Hurairah r.a telah mendengar Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud:
“ Puasa yang paling Afdhal selepas(selain) puasa di bulan Ramadan iaitu pada bulan Allah Muharram”
Hadis di atas menyatakan Muharram itu disandarkan kepada Allah(bulan Allah) untuk menerangkan kepada kita bulan Muharram itu ialah bulan Allah sebagai mana masjid (baitullah),tujuannya supaya kita banyak melakukan ibadah di bulan ini terutama ibadah puasa.
Di dalam bulan Muharram ini juga terdapat satu hari kebesaran bagi umat islam iaitu hari ‘asyura iaitu pada 10 muharram, dan disunatkan kepada umat islam untuk berpuasa pada hari tersebut.
Diceritakan oleh Ibnu ‘Abbas, ketika Nabi Muhammad s.a.w sampai ke madinah,nabi mendapati orang-orang yahudi di madinah berpuasa pada hari ‘Asyura,nabi bertanya kepada orang yahudi,mengapa kamu puasa pada hari ini? Orang yahudi menjawab: Ini hari yang besar,hari yang mana Allah telah menyelamatkan Nabi Musa dan kaumnya daripada kepungan firaun(sebagaimana yang diceritakan dalam Surah Ash-Shu’ara), apabila nabi mendengar jawapan daripada orang yahudi itu, Nabi berkata : Kami orang islam lebih berhak mensyukuri nikmat Nabi Musa selamat daripada kamu orang-orang yahudi maka Nabi perintahkan kepada semua orang Islam untuk berpuasa pada hari tersebut.
Inilah antara sunnah para anbiya’ terdahulu apabila bersyukur dengan sesuatu daripada pemberian Allah,mereka akan berpuasa. Nabi Musa selepas selamat daripada kepungan firaun,beliau berpuasa sebagai tanda syukur atas nikmat yang diberikan. Nabi Muhammad apabila ditanya mengapa Baginda berpuasa pada hari isnin? Baginda menjawab aku bersyukur kerana pada hari itu aku dilahirkan.
Hijrah
Awal Muharram ataupun disebut juga sebagai Maal Hijrah mengingatkan kita kepada satu peristiwa besar bagi umat Islam tentang penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat daripada Makkah Al-Mukarramah ke Madinah Al-Munawwarah. Namun apa penting daripada peristiwa agong ini ialah bukan setakat kita peringatinya atau mengadakan sambutan, perarakan dan makan-makan sahaja tetapi apa yang perlu ialah sejauh mana kita mempraktikkan dan mengaplikasikan nilai-nilai yang terdapat dalam peristiwa hijrah tersebut dalam kehidupan seharian kita.
Hijrah bermaksud meninggalkan sesuatu perbuatan ataupun berpindah dari suatu tempat ke tempat yang lain. Selepas tiga belas tahun Nabi Muhammad berdakwah di Makkah dengan pelbagai tekanan dan siksaan, maka Allah telah perintahkan kepada Nabi Muhammad untuk berhijrah ke Madinah, yang mana penghijrahan itulah yang telah menjadi kunci kepada kemenangan Islam dan telah tertegaknya sebuah Negara Islam di Madinah. Umat Islam di zaman Rasulullah sanggup berkorban dan berhijrah meninggalkan ahli keluarga, harta benda, binatang ternakan dan sebagainya demi untuk melaksanakan satu misi yang diperintahkan oleh Allah dan Rasulnya. Inilah hijrah yang berlaku di zaman Rasulullah.
Adapun dalam konteks kita pada hari ini, Hijrah yang paling besar ialah meninggalkan perbuatan yang dilarang oleh Allah dan kembali melakukan segala suruhan Allah Taala. Seperti mana yang telah dinyatakan oleh Baginda Nabi s.a.w: “Jihad yang paling besar adalah jihad melawan hawa nafsu”. Di dalam Hadis lain pula nabi bersabda: “Orang-orang yang berhijrah itu ialah orang yang meninggalkan segala apa yang Allah telah larang dari melakukannya”.
Sesungguhnya peristiwa Hijrah Rasulullah dan para sahabat ini merupakan titik permulaan yang menyebabkan tersebarnya Islam di seluruh pelusuk dunia. Maka menjadi kemestian kepada kita Umat Nabi Muhammad ini untuk menjadikan peristiwa Hijrah sebagai pengajaran kepada kita dengan cara melakukan perubahan dalam diri kita, meninggalkan segala sifat jahiliyyah yang ada dalam diri dan menanamkan benih-benih ketaqwaan dan keimanan dalam hati sanubari.
Marilah sama-sama kita bertekad dan berazam mudah-mudahan pada Maal Hijrah 1435 ini menjadikan diri kita seorang hamba yang benar-benar bertaqwa kepada Allah s.w.t. Menyucikan diri dari dosa,berazam untuk meninggalkan dosa dan seterusnya memelihara diri daripada melakukan maksiat.
UNIT PENERANGAN
LAJNAH PENERANGAN, DAKWAH & MEDIA BARU
DEWAN PEMUDA PAS PUCHONG
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Wa Lillahilhamd..
Segala puji bagi Allah SWT yang telah menjadikan Alam ini sebagai nikmat untuk kita syukuri. Selawat dan Salam buat junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, serta ahli keluarga Baginda dan para sahabat radiyallahu anhum ajma'in.
Syukur Alhamdulillah kita dipertemukan oleh Allah SWT dengan hari yang mulia ini tatkala sebahagian umat Islam sedang menjadi tetamu Allah di Baitullah Al-Haram untuk menunaikan rukun Islam yang kelima,iaitu Ibadah Haji. Pertamanya, saya ingin mengucapkan tahniah kepada seluruh umat Islam yang telah berpuasa pada hari semalam,tanggal 9 zulhijjah sebagai menyahut Sunnah yang dianjurkan Oleh Nabi SAW. Hari wukuf di arafah telah mengumpulkan sekalian umat Islam yang mengerjakan Fardhu Haji telah menyaksikan kesamarataan manusia dari segi darjat dan kedudukan di dunia bila mana kita dikumpulkan dengan wajah dan pakaian yang serupa persis keadaan manusia dikumpulkan pada hari akhirat di Padang Mahsyar kelak. Mereka dan kita yang sedang atau bakal menjadi tetamu Allah perlu mengambil ibrah ini sebagai satu persiapan kita menuju ke alam akhirat.
Pada hari ini, Kita berkumpul di hari yang sangat indah. Mungkin di sebahagian tempat cuacanya agak mendung, ada yang cuacanya cerah dan boleh jadi cuaca menunjukkan titis-titis hujan tanda rahmat Allah yang tidak terhingga di pagi Eidul Adha ini. Pagi tadi kita telah menunaikan Solat Hari Raya secara berjemaah di surau-surau mahupun di Masjid-masjid dan seterusnya kita mendengar 2 khutbah yang disampaikan oleh khatib. Pada saat ini pula, pasti sebahagian besar drpd kita sedang berkumpul di qariah masing-masing untuk menunaikan ibadah korban yang telah disyariatkan kepada kita semua.
Ibadah korban yang bertitik tolak daripada pengorbanan Nabi Ibrahim a.s yang sanggup mengorbankan anaknya Nabi Ismail a.s atas Perintah daripada Allah SWT,haruslah kita amati sedalam-dalamnya sebagai orang yang beriman. Apatah lagi jika kita merupakan pejuang agama Allah yang sudah pastinya menerapkan elemen tadhiyyah dalam perjuangan kita. Jihad yang kita lakukan tidak lain adalah atas perjuangan mempertahankan Aqidah yang suci ini. Sudah menjadi asam garam dalam perjuangan ini yang sentiasa dihujani dengan peluru ujian dan tidak kurang juga hujan nikmat yang sentiasa memayungi setiap daripada kita. Justeru, tanpa asas kefahaman yang jitu dan kuat serta tahap pengorbanan yang tinggi, sudah pastilah kita tidak mampu mengharungi badai yang mendepani kita.
Terlalu banyak pengajaran dan hikmah yang Allah SWT tunjukkan kepada kita hanya melalui ibadah Haji ini sahaja. Bahkan, tidak berdaya saya ceritakan semuanya di sini. Namun, Peristiwa-peristiwa yang berlaku di sebalik ibadah Haji ini seharusnya menjadi teladan kita bersama.
Di kesempatan ini, saya bagi pihak keluarga saya dan seterusnya keluarga besar Dewan Pemuda PAS Puchong ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Eiduladha dan Hari-hari tasyriq-11,12 dan 13 zulhijjah kepada seluruh umat Islam di Puchong ini khususnya dan Seluruh Negara Amnya. Hayatilah makna pengorbanan ini sewajarnya dan ingatlah firman Allah SWT surah Al-Hajj ayat ke 37:
لن ينال الله لحومها ولا دماؤها ولكن يناله التقوى منكم ۚ كذلك سخرها لكم لتكبروا الله على ما هداكم ۗ وبشر المحسنين
Maksudnya:
Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.
Mudah-mudahan kita berjaya menjadi orang yang bertaqwa di sisi Allah SWT.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Wa Lillahilhamd..
Mohd Rosharizan Bin Mohd Rozlan
Ketua Dewan Pemuda PAS Puchong

Belasungkawa dari Dewan Pemuda Pas Puchong atas pemergian YB Tan Sri Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak. Kami merasa sangat dukacita di atas pemergian beliau buat selama-lamanya meninggalkan dunia ini di saat para aktivis dan amilin PAS khususnya sangat memerlukan buah fikiran dan ketajaman akal beliau dalam mencorak perjuangan ini. Saff pemuda di sini turut merasakan bahawa ketiadaan beliau merupakan satu kehilangan yang besar yang mungkin tiada galang gantinya. Walaupun kita dipisahkan oleh alam yang berbeza,namun kami yakin bahawa,perpisahan ini adalah perpisahan yang sementara,kerana kita semua sedang mempersiapkan diri untuk bertemu pada suatu hari nanti. Ruh perjuangan yang ditiupkan oleh beliau akan terus disematkan dalam lubuk sanubari kami. Mudah-mudahan pertemuan itu nanti adalah pertemuan yang kekal abadi di jannah. Kami berdoa, semoga beliau ditempatkan dalam kalangan para pejuang agama Allah SWT dan lebih manis lagi sebagai pejuang yg gugur syahid atas jalan jihad ini.
Mohd Rosharizan Mohd Rozlan
Ketua Dewan Pemuda PAS Puchong
KENYATAAN
MEDIA
DEWAN
PEMUDA PAS PUCHONG
- AMK JANGAN BIADAP -
1). Senario terkini
berhubung kenyataan biadap Shamsul Iskandar Mat Akin yang secara
terang-terangan menyerang dan menyelar Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam Kongres
Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya
(MBPJ) amat dikesali lebih-lebih lagi kenyataan tersebut telah dilaporkan oleh
Malaysian Insider pada 24 Mei 2013.
2). Ketidakpuasan
hati beberapa pimpinan PKR ini secara sinis boleh dilihat dalam rentetan kenyataan
tidak wajar seperti isu kerusi bertindih sewaktu PRU 13 yang lepas terutamanya
kerusi DUN Kota Damansara dan isu pemilihan Menteri Besar.
3). Dewan Pemuda
PAS Puchong hairan bagaimana kenyataan biadab ini boleh dituturkan oleh beliau
yang sebelum ini kelihatan cerdik dan sangat memahami susila persefahaman
politik yang telah terbina sekian lama. Malangnya beliau mengambil jalan mudah
dan popular “membelasah” Presiden PAS agar dilihat hebat oleh anak-anak buahnya
dengan menyatakan Tuan Guru Presien PAS seorang pimpinan yang benak.
4). Dewan Pemuda
PAS Puchong berpandangan sepatutnya Kongres yang tiada pemilihan tersebut
menjadi medan muhasabah AMK bagi menilai prestasi merudum PKR semasa PRU13 yang
lepas dan menjadi ruang penambahbaikan pengurusan organisasi ranting dan cabang
PKR seluruh Malaysia.
5).
Umum mengetahui pasca PRU 13 kemelut dalaman PKR bergelojak akibat pertembungan
antara Timbalan Presiden dan beberapa orang pucuk pimpinan PKR dalam isu
pemilihan Menteri Besar Selangor yang menyaksikan siri-siri kenyataan media
menyalahkan pihak lain daripada melihat
kelemahan PKR sendiri.
6).
Isu watikah kerusi DUN Kota Damansara, kami Dewan Pemuda PAS Puchong bersama
dengan tindakan Presiden yang memberi sokongan penuh untuk calon PAS bertanding
di kerusi DUN tersebut. Sudah tentulah keputusan besar tersebut telah ditimbang
oleh Tuan Guru Presiden agar selaras dengan perjuangan PAS dan Islam itu
sendiri seperti yang telah dijelaskan sebelum ini. Apakah AMK tidak boleh
membuat pertimbangan keutamaan antara Presiden PAS, yang berada di dalam Majlis
Presiden Pakatan Rakyat berbanding memberi keutamaan kepada calon import yang
hanya sekadar menumpang logo parti sahaja yang tidak berada di dalam Pakatan
Rakyat dan pada masa yang sama parti calon import ini berlawan dengan PKR di
Semenyih.
7).
Oleh itu Dewan Pemuda PAS Puchong mendesak Shamsul Iskandar Mat Akin agar
membuat permohonan maaf atas ketelanjuran beliau mengaibkan Presiden PAS dan
kami bimbang jika selepas ini berlaku pula
hentaman-hentaman kepada Ketua Umum PKR.
Kami pemuda PAS juga punya tahap kesabaran yang terbatas kalau sekiranya Tuan
Guru Presiden terus-terusan dihendik seperti ini oleh ahli komponen Pakatan
Rakyat sendiri. “Jangan kerana guruh dilangit, air setempayan dicurahkan”.
Mohd Rosharizan Mohd Rozlan
Ketua Dewan Pemuda
PAS Puchong
16 Rejab 1435 H - 26 Mei 2013 M
(Gambar ini asli dan berlaku di Sekolah Kebangsaan Serdang di Saluran 3, kata Adun Seri Serdang)
SERDANG: Adun Seri Serdang yang baru dipilih, Noor
Hanim Ismail mengecam Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR)
Datuk Wan Ahmad Wan Omar kerana membuat kenyataan palsu dan menipu.
Ini
ekoran kenyataan Wan Ahmad yang mendakwa bahawa kejadian Blackout 505
yang tersebar di internet dan akhbar adalah fitnah dan lakonan yang
dirakam sebelum PRU 13.
"Mereka telah melakonkan perkara ini sebelum pilihan raya lagi untuk
disebarkan di internet sebagai helah bagi menunjukkan kononnya berlaku
kejadian lampu padam, sedangkan ini semua cerita karut.
"Pada
gambar tersebut ditunjukkan kononnya petugas SPR sedang mengira kertas
undi dan terpaksa menggunakan lampu bantuan kerana lampu padam sedangkan
petugas itu langsung tidak memakai baju SPR," kata Wan Ahmad kepada
Bernama ketika ditemui baru-baru ini.
Noor Hanim, calon PAS dalam pilihan raya ini menang dengan majoriti
16,251 undi dalam pilihan raya ini un tuk kerusi Seri Serdang.

Beliau mendapat 39,373 undi mengalahkan calon BN Mohamed Yusof Mohamed Yassin yang mendapat 23, 486 undi.
Menurut Noor Hanim (
gambar), gambar itu adalah asli yang berlaku di Sekolah Kebangsaan Serdang, di bilik pengiraan undi Saluran 3.
"Counting
Agent kami telah mengambil beberapa gambar sebelum dan selepas kejadian
blackout tersebut itu berlaku," kata Noor Hanim dalam kenyataannya.
"Saya
menyarankan agar pihak SPR khususnya Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan
Ahmad Wan Omar memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana telah
melakukan kesilapan dalam mengeluarkan kenyataan tanpa membuat kajian
yang mendalam dan mengambil ringan isu yang dibangkitkan oleh rakyat.
"SPR
sebagai badan rasmi yang menguruskan pilihanraya ini mesti dilihat
profesional, adil dan telus serta tidak berpihak kepada mana-mana
parti," kata Noor Hanim dalam kenyataannya.
Katanya, ternyata
hasil penelitian dan siasatan awal yang dilakukan beliau (Wan Ahmad)
bersama pegawai-pegawainya adalah sangat lemah dan hanya sekadar ingin
menutup kelemahan sistem pilihanraya yang ada dan menafikan kejadian
blackout yang benar-benar berlaku.
"Saya juga melihat beberapa
kelemahan Timbalan Pengerusi SPR dalam menilai beberapa aspek dikatakan
Prosedur Operasi Standard (SOP) SPR sewaktu hari mengundi pada 5 Mei
2013 yang lalu.
"Bagaimana beliau sendiri tidak tahu pakaian rasmi petugas-petugas SPR berwarna kelabu pada hari tersebut," katanya.
Noor Hanim juga berasa hairan kerana beliau juga tidak kenal kotak bekas kiraan undi yang digunakan oleh pihak SPR sendiri.
"Gambar tersebut dengan jelas menampakkan logo SPR di tepi kotak kiraan undi yang digunakan," katanya.
Sewaktu
kejadian itu berlaku, wakil calon beliau juga telah berusaha
membekalkan lampu suluh ke bilik kiraan undi tersebut bagi memastikan
proses kiraan undi berjalan dengan lancar.
"Saya menafikan
bahawa terdapat wartawan di lokasi kejadian kerana yang ada hanya Ketua
Tempat Mengundi (KTM), petugas SPR, wakil calon dan anggota polis yang
bertugas," katanya.
http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/19527-gambar-blackout-asli-wan-ahmad-buat-kenyataan-palsu
KENYATAAN MEDIA ADUN SERI SERDANG
YB NOOR HANIM ISMAIL
GAMBAR
LAKONAN BLACKOUT 505: MENYANGKAL DAKWAAN
SPR
Saya
mengecam kenyataan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) melalui Timbalan Pengerusinya
Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang menyatakan bahawa kejadian Blackout 505 yang
tersebar di internet dan akhbar adalah fitnah dan lakonan yang dirakam sebelum
PRU 13.
Ternyata
hasil penelitian dan siasatan awal yang
dilakukan beliau bersama pegawai-pegawainya adalah sangat lemah dan hanya
sekadar ingin menutup kelemahan sistem pilihanraya yang ada dan menafikan
kejadian blackout yang benar-benar berlaku. Saya ingin menyatakan bahawa gambar
yang tersebar tersebut adalah benar dan kejadian itu berlaku di SEKOLAH
KEBANGSAAN SERDANG, di bilik pengiraan undi Saluran 3. “Counting Agent” kami
telah mengambil beberapa gambar sebelum dan selepas kejadian blackout tersebut
itu berlaku.
Saya
juga melihat beberapa kelemahan Timbalan Pengerusi SPR dalam menilai beberapa
aspek dikatakan Prosedur Operasi Standard (SOP) SPR sewaktu hari mengundi pada
5 Mei 2013 yang lalu. Bagaimana beliau sendiri tidak tahu pakaian rasmi
petugas-petugas SPR berwarna kelabu pada hari tersebut. Saya juga berasa hairan
kerana beliau juga tidak kenal kotak bekas kiraan undi yang digunakan oleh
pihak SPR sendiri. Gambar tersebut dengan jelas menampakkan logo SPR di tepi
kotak kiraan undi yang digunakan.
Sewaktu
kejadian itu berlaku, wakil calon kami juga telah berusaha membekalkan lampu
suluh ke bilik kiraan undi tersebut bagi memastikan proses kiraan undi berjalan
dengan lancar. Saya menafikan bahawa terdapat wartawan di lokasi kejadian
kerana yang ada hanya Ketua Tempat Mengundi (KTM), petugas SPR, agen mengira undi dan
anggota polis yang bertugas sahaja.
Oleh
itu, saya menyarankan agar pihak SPR khususnya Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan
Ahmad Wan Omar memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana telah
melakukan kesilapan dalam mengeluarkan kenyataan tanpa membuat kajian yang
mendalam dan mengambil ringan isu yang dibangkitkan oleh rakyat. SPR sebagai
badan rasmi yang menguruskan pilihanraya ini mesti dilihat profesional, adil
dan telus serta tidak berpihak kepada mana-mana parti.
YB NOOR HANIM ISMAIL
ADUN SERI SERDANG.
25 Mei 2013 / 15 REJAB 1434